Patung Dragon Ball sasaran penjenayah - Utusan Malaysia

Patung Dragon Ball sasaran penjenayah

DZULKHAIRI MUKHTAR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ISKANDAR PUTERI : Seorang peniaga barang mainan tidak menyangka aktiviti bidaan patung adiwira di media sosial telah menjadi sasaran penjenayah sehingga mengalami kerugian kira-kira RM6,000.

Antara figura yang dicuri suspek ialah karektor daripada komik terkenal Jepun iaitu One Piece dan Dragon Ball. 

Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner Dzulkhairi Mukhtar berkata, kedai mangsa yang terletak di Taman Nusa Indah di sini telah dipecah oleh seorang suspek dalam kejadian pada 29 Oktober lalu.

“Lelaki berusia 29 tahun itu mendapat tahu kedai berkenaan mempunyai banyak figura yang berharga menerusi menerusi aktiviti bidaan itu di media sosial.

“Kejadian itu disedari peniaga tersebut kira-kira pukul 12.30 tengah hari ketika dia sampai ke kedai dan mendapati kunci mangga kedai sudah tiada serta pelbagai barang jualan di dalam kedai lesap,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Daerah (IPD) Iskandar Puteri di sini hari ini. 

Kata Dzulkhairi bertindak atas maklumat, polis Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Iskandar Puteri berjaya menahan seorang lelaki dalam satu serbuan kira-kira pukul 9 malam di Bestari Walk, Taman Nusa Bestari, sehari kemudian.

Tambahnya, dalam serbuan tersebut, polis turut merampas pelbagai barang rampasan figura adiwara yang dianggarkan mencecah nilai RM300 bagi setiap satu patung.

“Siasatan awal mendapati suspek adalah seorang penganggur dan tidak mempunyai rekod jenayah lampau,” katanya.

Katanya, ujian saringan air kencing pula mendapati suspek negatif penyalahgunaan dadah. 

“Pengakuan awal suspek mengaku terlibat dalam kes ini bersama dua lagi rakannya yang masih bebas. Kita masih menyiasat sama ada figura yang dicuri ini sudah dijual semula secara dalam talian.

“Suspek ditahan reman selama enam hari hingga Khamis ini untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 453 Kanun Keseksaan kerana menceroboh,” ujarnya. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN