JOHOR BAHRU: Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar bertitah seluruh mangsa yang ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) diberikan kemudahan secukupnya di samping mengambil langkah berjaga-jaga bagi membendung penularan wabak Covid-19.
Titah baginda lagi, malah kerajaan negeri dan agensi kerajaan termasuk pasukan keselamatan perlu membuat persiapan sepenuhnya dalam menghadapi cuaca tidak menentu ketika ini.
Sultah Ibrahim juga menasihatkan rakyat di pelbagai kawasan penempatan di seluruh daerah di Johor sentiasa berhati-hati berikutan keadaan cuaca tidak menentu ketika ini.
“Beberapa kawasan dinaiki air berikutan hujan lebat pada masa sekarang hingga segelintir penduduk dipindahkan ke PPS.
“Pada masa sama, pastikan mangsa-mangsa yang ditempatkan di PPS diberikan kemudahan yang secukupnya di samping mengambil langkah berjaga-jaga bagi membendung penularan wabak Covid-19.
“Begitu juga, penduduk yang menetap berhampiran kawasan rendah perlu sentiasa berhati-hati serta sentiasa patuh pada nasihat pihak berkuasa,” titah Sultan Ibrahim dalam hantaran terbaharu menerusi Facebook baginda hari ini.
Pada Sabtu lalu, hujan lebat yang melanda negeri ini telah menyebabkan seramai 155 mangsa banjir dari dua daerah dipindah ke PPS di daerah terbabit ekoran kejadian banjir kilat.
Kesemua mangsa melibatkan 40 buah keluarga di daerah Johor Bahru dan Pontian.
Semalam, situasi banjir di Johor reda apabila PPS di Sekolah Kebangsaan (SK) Batu 10, Skudai ditutup sepenuhnya selepas air kembali surut dan tiada hujan lebat serta air pasang.-UTUSAN ONLINE