ISKANDAR PUTERI: Pasir Gudang kini berstatus bandar raya kerana memenuhi keperluan syarat keperluan menjadi status sebuah bandar raya di samping memiliki pelbagai kemudahan prasarana lengkap iaitu kawasan industri serta pelabuhan.
Menteri Besar, Datuk Hasni Mohammad berkata, bandar itu merupakan pihak berkuasa tempatan ketiga dinaiktaraf sebagai Majlis Bandaraya di negeri ini selepas Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) pada 1994 manakala Majlis Bandaraya Iskandar Puteri (MBIP) pada 2017.
“Kepesatan pembangunan Pasir Gudang sebagai sebuah bandar industri dan pelabuhan yang memiliki pelbagai kemudahan prasarana lengkap memenuhi syarat keperluan menjadi status sebuah bandar raya.
“Kawasan pentadbiran Pasir Gudang berkeluasan 35,956 hektar menempatkan seramai 533,868 orang dengan majoriti penduduk Melayu sebanyak 66 peratus, Cina dan India masing-masing 11 peratus dan lain-lain sebanyak dua peratus,” katanya dalam sidang akhbar di Bangunan Dato’ Jaafar Muhammad, Kota Iskandar di sini hari ini.
Terdahulu, Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar berkenan mengisytiharkan Majlis Perbandaran Pasir Gudang sebagai Majlis Bandaraya Pasir Gudang berkuatkuasa bermula hari ini.
Warkah pemasyhuran pengisytiharan itu telah disampaikan Sultan Ibrahim kepada Hasni di Istana Pasir Pelangi di sini hari ini.
Sementara itu, Datuk Bandar Pasir Gudang yang baharu, Asman Shah Abdul Rahman berkata, pihaknya akan memberi tumpuan kepada isu keselamatan dan kesejahteraan penduduk di kawasan pentadbirannya.
“Fokus saya adalah untuk menjadikan Pasir Gudang sebagai sebuah bandar industri yang selamat dan lestari untuk didiami penduduknya.
“Selain itu, saya juga akan memberikan tumpuan kepada aspek kemasyarakatan termasuk menjamin kelangsungan 16 kampung tradisi yang berada dalam kawasan berkenaan,” ujarnya lanjut. -UTUSAN ONLINE