JOHOR BAHRU: Golongan belia disaran menceburi bidang pertanian yang dilihat lebih kukuh dan berkembang berbanding sektor lain yang terjejas teruk akibat pandemik Covid-19.
Menteri Besar Johor, Datuk Hasni Mohammad berkata, golongan berkenaan wajar merebut peluang itu kerana ia mempunyai potensi lebih luas seiring hasrat kerajaan termasuk Johor terhadap usaha jaminan bekalan makanan.
Katanya lagi, pertubuhan belia disarankan mengumpul data lebih lengkap bagi membolehkan kerajaan merancang pembangunan komprehensif mengikut keperluan memandangkan maklumat sedia ada tidak mencukupi untuk mewujudkan program bersesuaian keperluan semasa.
“Kalau sekalipun kita sediakan satu peruntukan yang besar untuk membangunkan sektor jaminan bekalan makanan ini, macam mana saya nak tahu bahawa orang muda merebut peluang itu? Bagaimana kita hendak tahu bahawa golongan muda yang benar-benar ada potensi tidak terlepas daripada radar kerajaan untuk membantu?
“Saya amat yakin bahawa dengan adanya data-data ini, lebih banyak lagi program yang akan dapat dirangka pada masa yang akan datang,” katanya ketika berucap dalam Majlis Makan Malam dan Penyerahan Insentif Persatuan Tinju Negeri Johor di sini baru-baru ini.
Menurut Hasni, keadaan pandemik Covid-19 menuntut kerajaan memikirkan satu intervensi yang menyeluruh dan merasakan bahawa usaha atau pandangan pelbagai pihak amat penting.
“Apa yang perlu kita beri tumpuan adalah membangunkan data orang muda ini. Saya yakin dan percaya bahawa di pihak belia itu sendiri haruslah tampil untuk menyatakan dengan lebih jelas tentang perkara-perkara yang tepat pada sasarannya.
“Jadi, dengan itu, saya meminta setiap pertubuhan dan persatuan, khususnya yang terdapat ahli-ahli dalam kalangan belia sentiasa menitikberatkan untuk membangunkan data dan dapat dikongsikan dengan kerajaan,” katanya.
Sementara itu, Hasni memaklumkan, Johor merancang untuk membina sebuah gimnasium rakyat dan hab belia di setiap daerah pada tahun depan dalam usaha memacu pembangunan dan potensi para belia seiring peredaran masa. -UTUSAN ONLINE