IPOH: Hujan lebat yang berterusan sejak semalam menyebabkan berlaku runtuhan tanah hingga mengorbankan dua individu dalam kejadian di sebuah resort terkenal di Tambun hari ini.
Mangsa seorang lelaki, Ooi Chee Wei, 39, ditemui pada pukul 9.15 pagi manakala seorang wanita dipercayai pasangannya, Lee Tze Juin, 32, dijumpai pada pukul 9.20 pagi.
Kedua-dua mereka ditemui pasukan mencari dan menyelamat dalam keadaan bertindih di sebuah bilik menempatkan jakuzi yang ditimbuni runtuhan tanah.
Pemangku Ketua Polis Perak, Datuk Goh Boon Keng berkata, kejadian membabitkan runtuhan di salah satu cerun di bukit batu kapur yang menimpa sebahagian villa di lereng bukit yang dihuni mangsa.
Katanya, kejadian yang berlaku awal pagi itu disedari pekerja di resort berkenaan sebelum menghubungi pasukan keselamatan untuk bantuan.
“Pihak polis menerima panggilan berhubung kejadian tanah runtuh daripada pengurusan resort tersebut pada pukul 2.15 pagi di mana dipercayai terdapat mangsa terperangkap di dalamnya.
“Operasi mencari dan menyelamat dilakukan serta-merta namun terpaksa dihentikan ekoran terdapat pergerakan tanah di lokasi kejadian sebelum disambung semula pada pukul 7 pagi ini,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian di sini hari ini.
Menurut beliau, operasi mencari mangsa yang disambung semula itu dijalankan secara berhati-hati bagi mengelakkan risiko tanah runtuh ekoran masih terdapat pergerakan tanah dan air mengalir dari bukit.
“Mayat kedua-dua mangsa yang berjaya dikeluarkan dihantar ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) untuk bedah siasat,” katanya.
Sementara itu, Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) negeri, Azmi Osman berkata, seramai 47 anggota terlibat dalam operasi tersebut dengan disertai enam anggota Unit K9 dengan dua ekor anjing pengesan.
“Kejadian itu membabitkan runtuhan tanah setinggi 100 meter dan kita melakukan carian mangsa dalam skop yang kecil iaitu dengan memberi tumpuan pada bahagian jakuzi,” katanya.
Proses bedah siasat ke atas mangsa akan dijalankan esok selepas ujian saringan Covid-19. – UTUSAN