BUTTERWORTH: Sepasang kekasih yang dipercayai mencuri enam ekor kambing dari sebuah kandang di sini Selasa lalu ditahan polis malam tadi.
Kedua-dua mereka yang berusia 24 dan 25 tahun ditahan anggota dari Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Seberang Perai Utara di sebuah rumah di Mak Mandin, dekat sini kira-kira pukul 9.30 malam.
Bagaimanapun, polis hanya menemukan semula dua ekor kambing yang telah dijual kepada seorang lelaki manakala empat ekor lagi dipercayai telah disembelih.
Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd. Noor berkata, kejadian itu disedari pemiliknya iaitu lelaki berusia 32 tahun yang mendapati enam ekor kambingya hilang, Selasa lalu.
“Hasil maklumat itu, polis menahan seorang lelaki yang dipercayai membeli dua ekor kambing itu pada harga RM300 dan menemukan semula kambing tersebut.
“Seterusnya kita menahan pasangan tersebut yang dipercayai mencuri kambing berkenaan sebelum menjualnya, namun empat ekor lagi dipercayai telah disembelih,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Noorzainy berkata, ketiga-tiga suspek yang masing-masing mempunyai rekod jenayah lampau itu ditahan bagi siasatan lanjut mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan. – UTUSAN ONLINE