JOHOR BAHRU: Pas Johor sedang meneliti permohonan keahlian baharu yang diterima daripada ahli atau bekas ahli Parti Amanah Negara (Amanah) melibatkan beberapa kawasan di negeri ini.
Pesuruhjaya Pas Johor, Abdullah Husin berkata, pihaknya menyerahkan kepada kepimpinan di peringkat kawasan untuk mengambil tindakan lanjut.
Beliau bagaimanapun enggan mendedahkan berapa jumlah permohonan yang telah diterima.
“Terbaharu yang diterima melibatkan kawasan Bakri seramai dua ahli Amanah, mereka sebelum ini merupakan aktivis Pas.
“Begitu juga di kawasan lain antaranya Kluang, Pagoh yang telah menerima permohonan tersebut.
“Sebahagian daripadanya telah diterima dan diluluskan oleh Pas Pusat manakala sebahagian lain masih ditapis dan diteliti di peringkat Pas kawasan,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.
Tambah beliau, Pas Johor selari dengan pendirian Mursyidul Am Pas, Datuk Hashim Jasin, yang memaklumkan parti berkenaan bersedia menerima ahli Amanah kembali semula kepada Pas.
“Pas Johor tidak keberatan dalam soal itu dan sentiasa membuka pintu kepada ahli Amanah untuk kembali atau menyertai Pas,” ujarnya lanjut. -UTUSAN ONLINE