KUALA LUMPUR: Semua petugas dan ahli parlimen diwajibkan membuat ujian saringan Covid-19 setiap dua minggu.
Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun berkata, ahli parlimen juga tidak boleh mengadakan mesyuarat dalam skala yang besar serta mengadakan jamuan.
Selain itu katanya, beberapa prosedur operasi standard (SOP) juga perlu dipatuhi termasuk menghadkan pergerakan di luar parlimen serta mengelakkan bergaul atau menghadiri majlis keramaian di tempat sesak.
“SOP tersebut dibuat berdasarkan pandangan Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah semalam. Parlimen akan keluarkan notis dari semasa ke semasa.
“Ini dibuat susulan langkah penularan Covid-19. Sekiranya ada jangkitan, Kementerian Kesihatan akan membuat penilaian SOP sewajarnya,” katanya menerusi teks ucapan yang dibacakan Timbalannya, Datuk Seri Azalina Othman Said.
Tambah Azhar, sekiranya ada jangkitan Covid-19, Parlimen berkemungkinan ditutup. – UTUSAN