PUTRAJAYA: Majlis Perbandaran Sepang (MPSepang) tetap meneruskan sistem parkir berbayar di Pekan Dengkil mulai Januari depan bagi mengelakkan isu lambakan kenderaan buruk atau terbiar.
Menurut Yang Dipertua majlis itu, Datuk Abd. Hamid Hussain,pelaksanaan sistem itu bertujuan mengawal kenderaan tersebut yang sengaja menghalang pengguna daripada menggunakan petak parkir berkenaan.
“Ini memastikan seluruh kawasan operasi jadi tersusun dan terkawal, malah penguatkuasaan lebih mudah di tempat letak kenderaan (TLK) yang ada sistem parkir berbayar,” jelasnya dalam kenyataan di sini hari ini.
Beliau mengulas isu penduduk di pekan kecil itu yang mempersoalkan pelaksanaan sistem berkenaan ketika rakyat pula masih berdepan dengan kebimbangan akan penularan wabak Covid-19.
Menyentuh isu kekhuatiran itu, beliau berkata, MPSepang menggalakkan pengguna untuk menggunakan aplikasi Smart Selangor Parking atau Flexi Parking yang turut memberi insentif percuma 30 minit pertama.
“Tujuan utama pelaksanaan TLK berbayar ini demi memastikan perancangan bandar lebih tersusun dan teratur selaras dengan Kajian Reka Bentuk Bandar Dengkil sendiri,” tambahnya.
Selain itu, katanya, ia adalah salah satu fungsi pihak berkuasa tempatan (PBT) di Selangor dan juga mana-mana PBT di Malaysia sendiri dalam usaha para pengguna kenderaan dapat membantu untuk meningkatkan hasil kutipan MPSepang.
“Perancangan untuk pelaksanaan TLK berbayar dibuat pada 2014 dan diluluskan melalui Mesyuarat Penuh Majlis Bil. 5/2014 bertarikh 27/6/2014 bagi MPSepang membuat penyelenggaran petak parkir.
“Pelaksanaannya telah dibuat lebih awal di Cyberjaya mulai pada 2015 dan diikuti Bandar Baru Salak Tinggi setahun kemudian sebelum diperluaskan ke beberapa kawasan tertentu,” katanya. -UTUSAN ONLINE