LARUT: Mengenal pasti kawasan yang mempunyai kabel pada siang hari dan mencurinya pada awal pagi sekitar pukul 2 hingga 5 pagi.
Itu modus operandi kumpulan pencuri kabel menara telekomunikasi dikenali sebagai ‘Geng Pidot’ yang bergiat aktif di daerah Larut Matang dan Selama serta daerah Kerian.
Kegiatan kumpulan itu bagaimanapun berjaya ditumpaskan berikutan penahanan tiga individu termasuk pembeli kabel yang dicuri baru-baru ini.
Difahamkan, nama geng berkenaan diambil sempena nama ketua mereka yang dikenali sebagai Pidot.
Ketua Polis Daerah Selama, Deputi Superintenden Mohd. Sabri Saad berkata, dua ahli kupulan itu ditahan di Sungai Kob dan Mahang di Kedah pada 26 Oktober lalu.
Menurutnya, dua suspek berusia 20-an itu merupakan ahli kumpulan curi kabel yang telah ditumpaskan oleh pihak polis dua tahun lalu namun kembali aktif sejak Julai tahun ini.
“Hasil risikan selama dua minggu, polis berjaya membuat tangkapan ke atas dua lelaki warga tempatan termasuk ketua kumpulan yang berusia 24 tahun di Sungai Kob dan Mahang, Kedah.
“Mereka mengenal pasti kawasan yang mempunyai kabel pada waktu siang dan mencurinya antara pukul 2 hingga 5 pagi,” katanya pada sidang akhbar di Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Selama di sini hari ini.
Menurut Mohd. Sabri, kabel yang dicuri dibawa ke kebun sawit di Sedim, Kedah untuk dibakar sebelum dijual kepada pembeli besi buruk di Sungai Dua, Butterworth, Pulau Pinang.
Beliau berkata, seorang pembeli kabel curi di Sungai Dua yang dipercayai bersubahat dengan dua suspek itu ditahan pada hari sama, namun dua lagi ahli kumpulan itu masih diburu.
“Polis turut merampas sebuah Proton Wira yang dilaporkan dicuri di Nibong Tebal, Pulau Pinang serta peralatan mencuri kabel, tiga gulung kabel yang belum dibakar dan lima guni plastik berisi kabel tembaga yang telah dibakar,” katanya.
Katanya, anggaran nilai barang rampasan adalah RM13,000 dan kerugian yang dialami oleh Telekom Malaysia dianggarkan kira-kira RM150,000.
Katanya, ujian saringan air kencing ke atas ketiga-tiga mereka mendapati ketua kumpulan itu positif dadah jenis Syabu dan mempunyai rekod lampau jenayah dalam aktiviti mencuri kenderaan dan kabel.
“Dengan tertangkapnya Geng Pidot termasuk ketuanya, polis berjaya menyelesaikan sebanyak 10 kes kecurian kabel dari Julai hingga Oktober tahun ini dan berjaya melumpuhkan sindiket curi kabel di daerah Selama dan kawasan sekitarnya,” katanya.
Kes disiasat di bawah seksyen 431(a) dan 379(a) Kanun Keseksaan. – UTUSAN