BALIK PULAU: Anggota bomba mengambil masa selama setengah jam untuk mendaki dan membawa turun seorang warga emas yang ditemui dalam keadaan lemah di sebuah pondok dusun durian di Kampung Sepakat, Teluk Kumbar di sini, pagi tadi.
Pegawai Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat Seri Balik Pulau, Isparizan Ishak berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian berlaku pukul 7.53 pagi dan bergegas ke lokasi terbabit.
Menurutnya, beberapa anggota bomba terpaksa memanjat bukit pada jarak 80 meter untuk ke lokasi pondok berkenaan.
“Sebaik sahaja tiba di situ, warga emas berusia 69 tahun ditemui dalam keadaan lemah dan anggota telah memberi rawatan awal kepada mangsa.
“Menurut rakan-rakanya yang turut berada di dusun itu, mangsa sebelum itu dilaporkan pengsan dan didapati telah sedarkan diri ketika anggota tiba di situ,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini tadi.
Isparizan memberitahu, anggota kemudiannya membawa turun mangsa ke kaki bukit dengan laluan mendaki yang curam menggunakan alat pengusung.
“Kita telah menyerahkannya kepada pasukan kesihatan yang menunggu di kaki bukit untuk dibawa ke Hospital Balik Pulau dengan ambulan,” ujarnya operasi tersebut tamat sepenuhnya pada pukul 9.48 pagi. – UTUSAN ONLINE