Pandu lawan arus, lelaki direman tiga hari - Utusan Malaysia

Pandu lawan arus, lelaki direman tiga hari

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TAPAH: Lelaki yang memandu Perodua Axia melawan arus bagi mengelak sekatan jalan raya hingga mengakibatkan kemalangan tiga kenderaan di Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) Rabu lalu direman tiga hari untuk membantu siasatan.

Perintah reman dikeluarkan Majistret Mohd. Harith Mohd. Mazlan bagi membolehkan kes disiasat mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Pemandu berusia 34 tahun itu ditahan di rumahnya di Bidor, kira-kira pukul 11 pagi semalam.

Dalam kejadian Rabu lalu, suspek yang dikatakan mahu mengelak sekatan jalan raya (SJR) di Plaza Tol Sungkai, memandu melawan arus sehingga mengakibatkan kemalangan di KM355.4 Lebuh Raya Utara Selatan, arah utara dekat Bidor.

Difahamkan, lelaki itu dalam perjalanan pulang ke kampungnya di Bidor untuk menyambut perayaan Deepavali esok.

Tindakan suspek yang secara tiba-tiba itu telah menyebabkan kereta dipandunya bertembung dengan kereta Toyota Rush dipandu lelaki berusia 25, dan sebuah treler di lorong kiri yang tidak sempat mengelak.

Ketua Polis Daerah Tapah, Superintenden Wan Azharuddin Wan Ismail berkata, pelanggaran itu menyebabkan pemandu Toyota Rush mengalami luka-luka ringan manakala suspek dan pemandu treler berusia 27 tahun tidak cedera

“Tangkapan ke atas lelaki itu tidak dilakukan sejurus ditahan berikutan suspek baharu menjalani ujian saringan pengesanan Covid-19 (ujian swab) di Klang dan keputusan ujian masih belum diperoleh.

“Suspek bagaimanapun ditahan pada pukul 11 hari ini di rumahnya di Bidor untuk siasatan mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Video berdurasi 16 saat yang memaparkan kejadian pandu lawan arus itu dirakam pemandu yang dalam perjalanan ke selatan dan tular di media sosial sejak kelmarin. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya