SEREMBAN: Polis kini sedang mengesan dan mengenal pasti pemandu sebuah kereta alza yang dipandu secara melawan arus di Lebuhraya Utara Selatan di sekitar Hentian Rehat Senawang yang videonya tular dalam media sosial sejak semalam.
Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Mohd. Said Ibrahim berkata, tular sejak pukul 5 petang semalam satu video berdurasi 36 saat yang memaparkan kejadian sebuah kereta jenis Perodua Alza berwarna merah dipandu secara berlawanan arus di Lebuhraya Utara Selatan.
Menurutnya, siasatan lanjut pihak polis mendapati kejadian tersebut berlaku di sekitar kawasan hentian rehat Senawang di Kilometer 248 (Utara) menuju ke arah Kilometer 240 (Utara) Lebuhraya Utara Selatan.
“Kereta ini telah bergerak di lorong kecemasan secara melawan arus seterusnya memasuki Plaza Tol Pedas-Linggi lalu dipandu ke arah Selatan. Hasil siasatan awal juga mendapati pemilik kenderaan tersebut merupakan seorang wanita Melayu berumur 24 tahun yang menetap di Kulai, Johor.
“Namun begitu status pemandu yang memandu kenderaan tersebut masih belum dapat dipastikan. Sehingga kini, pihak polis sedang giat mengenal pasti dan mengesan pemandu kereta ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Ujar Mohd. Said lagi, kes tersebut disiasat di bawah Sek 42 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan siasatan lanjut masih dijalankan.
“Sebarang makluman, boleh disalurkan dengan menghubungi Pegawai Penyiasat Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seremban, Inspektor Syaifullah Othman di talian 019-6327732,” katanya. – UTUSAN