IPOH: Sikap panas baran seorang lelaki mengamuk hingga merosakkan kereta milik seorang jururawat menggunakan besi. Ahad lalu, mendapat balasan apabila didenda RM1,000 oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini.
Tertuduh, Zainudin Zainal, 59, dijatuhi hukuman tersebut selepas mengaku bersalah atas pertuduhan yang dibacakan jurubahasa di hadapan Majistret Umzarul An Nur Umar.
Duda anak dua itu juga diperintahkan menjalani hukuman penjara tiga bulan jika gagal membayar denda tersebut.
Mengikut pertuduhan, lelaki yang bekerja sebagai tukang rumah itu didakwa melakukan khianat harta iaitu kereta Proton Saga BML milik Nurul Kamilah Baharudin, 37, di Kampung Pengkalan Baru, Kampung Kepayang di sini pada pukul 5.30 petang, 8 November lalu.
Perbuatan tertuduh itu menyebabkan Nurul Kamilah mengalami kerugian sebanyak RM2,000.
Bagi pertuduhan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya.
Ketika rayuan bagi mengurangkan hukuman, Zainudin yang diwakili peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Intan Shafini Mior Shahrin memohon dikenakan hukuman ringan kerana tidak mempunyai pendapatan tetap selain menyesal kerana tidak dapat mengawal perasaan marah sehingga bertindak demikian.
Sementara itu Timbalan Pendakwa Raya, Afiqah Izzati Mazlan meminta mahkamah mengenakan hukuman setimpal ke atas tertuduh dengan mengambil kira jumlah kerugian yang dialami mangsa dan tindakannya memecahkan cermin kereta adalah satu kesalahan berat.
“Mohon mahkamah mengenakan hukuman berat sebagai pengajaran kepada tertuduh agar tidak mengulangi kesalahan pada masa akan datang dan waspada akan tindak tanduknya ketika di luar,” katanya.
Utusan Online semalam melaporkan, seorang jururawat berdepan detik mencemaskan apabila kereta miliknya diserang seorang lelaki menggunakan batang besi karat hingga mengakibatkan beberapa kerosakan termasuk pecah cermin kereta.
Kejadian itu berlaku ketika dua anak perempuan mangsa masing-masing berusia dua tahun dan tiga bulan berada dalam kenderaan berkenaan dan mengakibatkan seorang daripada mereka cedera di kaki kerana terpijak cermin kaca.
Susulan kejadian itu, mangsa bukan sahaja trauma malah dua anaknya termasuk anak lelaki berusia sembilan tahun sering mengigau disebabkan kejadian itu. – UTUSAN ONLINE