TANGKAK: Dua nelayan cemas apabila bot mereka hanyut setelah kehabisan minyak dalam kejadian di Jeti Parit Karang semalam.
Dalam kejadian pada pukul 8.30 pagi itu, mangsa, Johari Jalil, 40, dan rakannya, Khairul Azmi Mohd. Adnan, 37, terselamat.
Menurut Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tangkak, Penolong Penguasa Bomba Rafiah Aziz berkata, bot mangsa ditemukan terapung kira-kira 16.2 nautika dari jeti berkenaan.
“Mangsa sebelum itu dilaporkan keluar dari Jeti Nelayan Sebatu, Sungai Rambai sejak jam 11.14 malam semalam sebelum mengalami kehabisan minyak pagi tadi.
“Pihak bomba yang menerima panggilan kecemasan pada pukul 8.30 pagi bergegas ke lokasi dengan tiga jentera bersama sembilan anggota.
“Setibanya Pasukan Keluar Operasi (PKO) didapati benar sebuah bot fiber dinaiki dua nelayan telah hanyut akibat kehabisan minyak di kawasan berhampiran Jeti Parit Karang, Muar,” katanya dalam kenyataan di sin hari ini.
Rafiah berkata, pasukan Maritim Malaysia (APMM) Batu Pahat memaklumkan mangsa ditemui&- selamat oleh nelayan lain sebelum bot mereka ditunda ke Jeti Sungai Rambai, Melaka dekat sini.
Jelasnya, operasi ditamatkan pada pukul 10.08 pagi.- UTUSAN ONLINE