PUTRAJAYA: Bagi penggemar makanan tempatan, mungkin ramai berpendapat harga nasi lemak jika dijual RM2 sebagai paling rendah, tetapi tanggapan itu sebenarnya kurang tepat.
Data dikeluarkan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) bagi Indeks Harga Pengguna bulan Oktober lalu melaporkan harga purata nasional bagi sebungkus makanan itu ialah RM2.83.
Menurut Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr. Mohd. Uzir Mahidin, Perlis menjadi negeri paling murah untuk harga nasi lemak apabila ia secara purata dijual sekitar RM2.29.
Ini disusuli Pulau Pinang dengan harga purata RM2.34, Perak (RM2.42), Selangor (RM2.44), Melaka (RM2.44), Kedah (RM2.46), Labuan (RM2.50) dan Negeri Sembilan (RM2.50).
Sementara paling mahal di Sarawak iaitu RM4.09 diikuti Putrajaya (RM3.02), Johor (RM3.00), Kuala Lumpur (RM2.83), Pahang (RM2.75), Kelantan (RM2.70) dan Terengganu (RM2.61).
Jika anda peminat roti canai, purata sekeping di peringkat nasional dijual pada harga RM1.13 dengan Perlis menurut DOSM, sekali lagi muncul sebagai negeri paling murah iaitu RM1.00.
Ini disusuli pula oleh Johor (RM1.02), Kelantan (RM1.03), Kedah (RM1.04), Terengganu (RM1.05), Melaka (RM1.07), Negeri Sembilan (RM1.08) Pahang (RM1.08) dan Perak (RM1.10).
Manakala Labuan paling mahal iaitu RM1.50, diikuti Sabah (RM1.31), Putrajaya (RM1.22), Sarawak (RM1.22), Kuala Lumpur (RM1.20), Selangor (RM1.18) dan Pulau Pinang (RM1.11).
Dalam pada itu minuman popular tanah air, teh tarik menyaksikan harga purata secawan di peringkat kebangsaan ialah RM1.61 dengan Kedah menjadi negeri termurah iaitu RM1.29.
Ini disusuli pula Pulau Pinang (RM1.30), Perak (RM1.36), Kelantan (RM1.42), Melaka (RM1.42), Negeri Sembilan (RM1.42), Johor (RM1.45), Pahang (RM1.52) dan Selangor (RM1.52).
Sementara teh tarik termahal di Sabah (RM1.93) diikuti Sarawak (RM1.90), Labuan (RM1.82), Kuala Lumpur (RM1.72), Perlis (RM1.72), Terengganu (RM1.69) dan Putrajaya (RM1.68).
Bagaimanapun, harga jualan yang dilaporkan DOSM itu merupakan rekod kadar purata dan kemungkinan masih lagi boleh berbeza mengikut keperluan penjual di sesuatu kawasan. – UTUSAN