Muafakat Nasional Selangor akan jumpa Zahid, Hadi - Utusan Malaysia

Muafakat Nasional Selangor akan jumpa Zahid, Hadi

NOH (tiga kiri) melihat palet bahan bakar daripada syarikat Detik Aturan Sdn. Bhd. di Tanjong Karang, Selangor di sini hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TANJONG KARANG: Muafakat Nasional (MN) negeri akan berjumpa dengan Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Abdul Hadi Awang bagi membincangkan mengenai pendirian dinyatakan Mursyidul Am Pas, Datuk Hashim Jasin berkenaan penetapan untuk tidak meninggalkan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Tan Sri Noh Omar berkata, perjumpaan bersama kedua-dua pemimpin tertinggi UMNO dan Pas itu akan dilakukan dalam masa terdekat bagi membincangkan situasi di Selangor.

“MN di negeri ini telah pun berbincang dan membuat penetapan untuk tidak bertembung satu sama lain pada pilihan raya akan datang. 

“Pembahagian kerusi antara UMNO dan Pas juga telah selesai sepenuhnya dan buat masa ini tidak melibatkan Bersatu. Malah, sebaliknya kita kini sedang memperkukuhkan kerjasama antara UMNO dan Pas untuk menawan semula Selangor,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Terdahulu, Noh yang juga merupakan Pengerusi Perbadanan Usahawan Nasional Berhad (PUNB) mengadakan lawatan ke kilang pemprosesan palet biomas, Detik Aturan Sdn. Bhd. di sini yang turut dihadiri Pengarah Eksekutifnya, Md. Arfizal Md. Ariffin.

Semalam, Pas menerusi Mursyidul Amnya menetapkan pendirian tidak akan meninggalkan Bersatu selain terus memperkukuhkan hubungan dengan UMNO dalam MN.

 Malah, beliau turut menasihatkan UMNO agar menyelesaikan sebarang perkara berbangkit dengan Bersatu demi memperkukuhkan perpaduan dan kedudukan Melayu dan Islam di negara ini.

Dalam pada itu, Noh yang juga Ahli Parlimen Tanjong Karang berkata, sekiranya kedua-dua parti membuat keputusan bersama Bersatu, pihaknya menasihatkan parti itu supaya tidak mengambil kerusi yang telah ditetapkan MN negeri.

“Pembahagian kerusi telah dibincangkan dan jika Bersatu hendak meletakkan calon mereka tidak boleh mengambil kerusi UMNO dan Pas. Sekiranya hendak bertanding, mereka harus mengekalkan kerusi sedia ada sahaja.

“Namun, sekiranya mereka tetap meletakkan calon di tempat ditandingi UMNO, kita akan melawannya manakala untuk Pas kita serahkan sepenuhnya kepada parti itu,” ujarnya.

Dalam pada itu, Yang Dipertua Pas Tanjong Karang, Zamri Mantop berkata, perbincangan kerusi di Selangor telah pun selesai dibincangkan antara Pas dan UMNO.

“Bahasa tidak formalnya ialah kita semua perlu bersepakat satu sama lain. Permuafakatan antara kedua-dua parti ini telah wujud dan seharusnya Bersatu jangan kacau kawasan yang telah dibincangkan,” katanya. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN