LUMUT: Dalam usaha mencegah penularan pandemik Covid-19, Majlis Perbandaran Manjung (MPM) menggerakkan inovasi dengan menyediakan singki mudah alih untuk kegunaan penduduk setempat.
Menerusi inovasi itu, pengguna hanya perlu memijak alat pemijak untuk mengeluarkan cecair pencuci tangan yang terletak bersebelahan paip air, sekali gus tidak perlu memegang alat pencuci tangan ketika mencuci tangan.
Inovasi itu melibatkan kombinasi singki dengan alat pemijak cecair pencuci tangan, tong dram terpakai, singki, kepala paip dan paip polyvinyl chloride (PVC) serta boleh diletakkan di mana-mana lokasi bersesuaian.
Yang Dipertua MPM, Syamsul Hazeman Md. Salleh berkata, rekaan itu dihasilkan lima kakitangan majlis perbandaran itu dalam tempoh tiga jam bagi setiap satu.
“Inovasi hasil cetusan idea Unit Landskap dengan kerjasama Jabatan Kejuruteraan dan Penyelenggaraan MPM sebagai usaha mencegah jangkitan Covid-19 di dalam kawasan perbandaran ini,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Menurut Syamsul Hazeman, inovasi itu diharap dapat membantu dan menggalakkan orang ramai menjaga kebersihan ketika berada di tempat awam dalam negara masih lagi berjuang memerangi Covid-19.
Katanya, ini memudahkan orang ramai kerana tidak perlu menyentuh botol sabun ketika membasuh tangan.
Beliau berkata, setakat ini MPM sudah menyiapkan 10 unit yang ditempatkan di enam pasar awam, Jeti Pangkor dan Lumut, Stesen Bas Seri Manjung dan pejabat MPM. – UTUSAN ONLINE