MPHTJ ikut jejak KL, boleh berniaga di mana-mana - Utusan Malaysia

MPHTJ ikut jejak KL, boleh berniaga di mana-mana

SHADAN OTHMAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ) membenarkan para peniaga untuk berniaga di mana-mana kawasan yang sesuai dalam kawasan pentadbirannya bermula hari ini.

Yang Dipertuanya, Datuk Shadan Othman berkata, kebenaran itu diputuskan dalam mesyuarat penuh pihak berkuasa tempatan (PBT) itu bersama ahli majlis.

Shadan berkata, rakyat negeri ini dibenarkan berniaga termasuk di hadapan rumah masing-masing, namun sekiranya lokasi berada di tepi jalan, peniaga perlu membuat permohonan kebenaran bagi membolehkan MPHTJ mengenal pasti kesesuaian tempat berkenaan.

“Keputusan ini juga adalah salah satu maklum balas MPHTJ memahami keluhan para peniaga dan rakyat yang terkesan dengan kegoyahan ekonomi pada waktu ini termasuk mereka yang hilang pekerjaan.

“Bagaimanapun mereka perlu mematuhi syarat yang ditetapkan termasuk mengambil suntikan tifoid selain memohon lesen menjaja sementara dengan kadar percuma sehingga hujung tahun ini sekiranya lokasi berada di tepi jalan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar gimik pelancaran banteras banting dan iklan ah long di Melaka Mall di sini.

Katanya, permohonan itu juga bagi membolehkan pihaknya membuat pemantauan untuk memastikan semua peniaga kekal mengikut peraturan ditetapkan.

Jelasnya, setakat ini pihaknya telah menerima lebih 500 permohonan peniaga kecil termasuk mereka yang mahu berniaga dan menjaja di kawasan perumahan, di tepi jalan dan luar kompleks Melaka Mall.

Shadan berkata, pihaknya juga akan memberi potongan bayaran sewa sebanyak 50 peratus kepada 504 penyewa gerai MPHTJ dan 7,500 peniaga rumah kedai di bawah pentadbirannya.

“Kita juga akan memberikan potongan 70 peratus bayaran tunggakan sewa, lesen dan denda dalam tempoh dua bulan ini yang akan berakhir 31 Disember depan.

“Biarpun usaha yang dilakukan MPTHJ ini dilihat kecil, namun setidak-tidaknya dapat membantu mereka menambah pendapatan dan memacu semula ekonomi dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PPKP),” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya