Motosikal terbakar dalam perjalanan mohon bantuan Baitulmal  - Utusan Malaysia

Motosikal terbakar dalam perjalanan mohon bantuan Baitulmal 

TAJUL Ariffin (dua dari kanan) Pengurus YaPEIM Negeri Johor menyampaikan sumbangan barangan dapur kepada Amran Ronggi di rumahnya di Kampung Orang Asli , Kuala Masai Pasir Gudang di sini hari ini. -UTUSAN/ Baazlan Ibrahim.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PASIR GUDANG: Bapa kepada empat anak bukan sahaja tersesat, malah, motosikal yang dibawanya terbakar ketika dalam perjalanan memohon bantuan Baitulmal, kelmarin.

Amran Ronggi, 29, yang menetap di Kampung Orang Asli, Kuala Masai berkata, selain untuk memohon bantuan, dia juga dalam perjalanan untuk mendaftar surat beranak salah seorang anaknya.

Katanya, dia tersalah jalan sebelum motosikalnya terbakar di Plaza Tol Senai.

“Saya mahu pergi ke Jabatan Pendaftaran Negara untuk menguruskan surat beranak tiga daripada empat anak sebelum tersalah jalan.

“Ketika itu, anak saya memberitahu kakinya terasa panas sebelum saya bertindak memeriksa motosikal dan mendapati ia sudah terbakar.

“Mujur anggota polis di sana membantu, namun, motosikal itu sudah terbakar sepenuhnya dan tidak boleh dibaiki, hanya boleh dijual sebagai besi buruk sahaja,” katanya.

Dia ditemui pemberita semasa menerima kunjungan Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (Yapeim) di kediamannya di sini hari ini.

Isnin lalu, motosikal ditunggang Amran dan anaknya ketika dalam perjalanan mendapatkan bantuan di Baitulmal dilaporkan terbakar di Plaza Tol Senai.

Kejadian itu bagaimanapun dikongsi dalam laman Facebook rasmi Ibu Pejabat Polis Daerah Kulai, sebelum menjadi tular dalam media sosial.

Tambah Amran, pendapatannya sebagai nelayan terjejas akibat pandemik Covid-19 ketika ini sehingga memaksanya berusaha untuk mendapatkan bantuan untuk keluarganya.

“Sebelum ini, pendapatan bulanan saya melebihi RM1,000 sebulan. Walaupun tidak besar, tetapi cukup untuk menyara keluarga tanpa perlu mendapatkan bantuan.

“Namun, kini, pendapatan saya hanya sekitar RM600 sebulan, membuatkan saya perlu berusaha mendapatkan bantuan untuk memastikan komitmen bulanan dapat dibayar, terutamanya keperluan anak-anak,” ujarnya.

Sementara itu, Pengurus Yapeim Johor, Tajul Ariffin Harun berkata, pihaknya berasa terpanggil untuk menghulurkan sumbangan kepada keluarga Amran selepas mendapat tahu kejadian menimpanya menerusi media sosial.

“Menerusi kunjungan hari ini, kami menyampaikan sedikit sumbangan berbentuk barangan keperluan harian buat mereka, antaranya termasuklah beras, bihun, minyak masak, biskut dan lain-lain.

“Sejak September 2019 hingga November tahun ini, Yapeim Johor telah menyantuni sejumlah 7,160 buah keluarga terdiri daripada golongan memerlukan di seluruh negeri,” tambahnya. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya