SUNGAI PETANI: Seorang warga emas memohon sumbangan orang ramai bagi membiayai kos pemasangan semula tempurung kepala anaknya yang menderita penyakit berkaitan saraf otak selepas terlibat kemalangan jalan raya, lima tahun lalu.
Warga emas terbabit, Ahmad Hassan, 66, berkata, kos untuk rawatan dan pemasangan semula tempurung kepala anak bongsu daripada empat beradik itu, Mohd. Khairul Shafiq, 18, dianggarkan antara RM6,000 hingga RM10,000.
“Pihak Hospital Pulau Pinang memberikan tempoh lima tahun untuk proses pemasangan tempurung kepala tersebut yang kini berbaki kira-kira setahun sahaja,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.
Katanya, dia bimbang dengan kesihatan anaknya yang kerap diserang sawan akibat penyakit yang dihadapinya itu.
“Pemasangan tempurung kepala itu boleh membantu anak saya menjalani kehidupan normal seperti remaja lain di luar sana,” ujarnya.
Menurut Ahmad, dia baru sahaja kematian isteri, Sharifah Ismail, 63, akibat kanser tulang dan paru-paru pada Jumaat lalu.
“Bimbang apabila memikirkan nasib anak saya ini jika saya tiada lagi selepas ini, jadi saya berharap ada pihak yang boleh membantu menyegerakan rawatan dan pemasangan semula tempurung kepala anak saya ini,” katanya.
Ujarnya, sebelum ini dia menyara keluarga dengan bekerja sebagai pemandu lori, namun terpaksa berhenti sejak lima tahun lalu kerana menghidap penyakit darah tinggi.
“Sejak dari itu, arwah isteri mengambil upah mencucuk sate untuk mengumpul wang rawatan Mohd. Khairul sebelum disahkan menghidap kanser dua bulan lalu.
“Arwah tidak lagi boleh bekerja menyebabkan saya bekerja semula sebagai pemandu lori kayu untuk menyara hidup selain cuba mengumpul wang bagi rawatan anak bongsu saya itu,” katanya.
Tambahnya, tiga anaknya yang lain juga turut membantu daripada segi kewangan dan menjaga adik mereka, namun mereka hanya bekerja biasa serta masih perlu menyara ahli keluarga masing-masing.
Sesiapa yang ingin membantu Mohd. Khairul Shafiq boleh berhubung dengan wakil penduduk Kampung Berapit, Muhammad Ridzuan Osman di talian 017-5335600.- UTUSAN ONLINE