PUTRAJAYA: Sejumlah 17 pihak berkuasa tempatan (PBT) bertaraf bandar raya di seluruh negara bakal menyiarkan sesi mesyuarat majlis mereka secara langsung kepada penonton.
Usaha terbaharu itu antara inisiatif dibuat Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) yang dijangka dapat dilaksanakan menjelang akhir suku pertama tahun depan.
Menterinya, Zuraida Kamaruddin berkata, beberapa PBT di Lembah Klang dikenal pasti mungkin akan menjadi perintis sebelum diperluaskan kepada tempat lain secara berperingkat.
“Saya berharap akan dapat pilih untuk dimulakan dahulu, misalnya MBSA (Majlis Bandaraya Shah Alam) dan selepas itu dicontohi pula PBT lain yang berstatus bandar raya,” katanya.
Beliau menyatakan demikian dalam sidang akhbar selepas hadir menyempurnakan Majlis Penganugerahan Bintang Perkhidmatan PBT secara maya dari kementeriannya di sini hari ini.
Program itu merupakan julung kali diadakan melibatkan 152 PBT di negara ini bagi mengiktiraf prestasi kerajaan tempatan yang terbaik berdasarkan penilaian Sistem Penarafan Bintang.
Mengulas lanjut, Zuraida berkata, idea untuk siaran langsung sesi mesyuarat PBT itu pernah dibangkitkan oleh beberapa Ahli Parlimen ketika perbahasan di Dewan Rakyat sebelum ini.
“Ia bagi membolehkan rakyat di kawasan pentadbiran PBT itu dapat lihat sendiri perjalanan mesyuarat secara telus dan menilai isu dibangkitkan oleh ahli majlis mereka,” jelas beliau lagi.
Sesi mesyuarat PBT ujarnya, pada kelaziman tidak mengambil masa lama dan sekitar sehari sahaja berbanding sidang di Dewan Rakyat, Dewan Negara atau Dewan Undangan Negeri.
PBT bertaraf bandar raya kata beliau, sebenarnya memiliki kemudahan infrastruktur sesuai bagi melaksanakan perkara ini sama ada melalui platform laman maya atau media sosial rasmi.
Kaedah itu jelas Zuraida, membolehkan proses pendemokrasian PBT walaupun tiada proses pilihan raya kerajaan tempatan dibuat bagi penduduk memilih sendiri wakil ahli majlis mereka.
“Melalui siaran langsung mesyuarat PBT itu, rakyat diharap mendapat banyak manfaat selain memahami dasar kerajaan yang disampaikan secara telus terus ke akar umbi,” tambah beliau. -UTUSAN ONLINE