BATU PAHAT: Jabatan Perikanan Johor menghasilkan mesin mini pengering berkuasa solar yang dapat menghasilkan produk ikan masin dengan lebih mudah dan cepat sekali gus menyingkatkan tempoh pemprosesan daripada tiga hari kepada sehari.
Pengarahnya, Noraishah Hashim berkata, mesin itu yang dibangunkan Bahagian Kejuruteraan Jabatan Perikanan melibatkan kos RM45,000 di samping dapat memastikan tahap kebersihan ikan kering.
Katanya, menerusi mesin berkenaan, tempoh masa pengeringan ikan masin dapat disingkatkan.
“Sebelum ini masa untuk mengeringkan ikan memakan tempoh dua hingga tiga hari, tetapi apabila menggunakan mesin ini, tempoh pemprosesan dapat disingkatkan kepada satu hari setengah, bergantung kepada ketebalan ikan yang diproses.
“Selain itu, mesin ini juga dapat memastikan tahap kebersihan produk terjamin kerana tidak perlu terdedah dengan persekitaran termasuk hujan. Antara ikan yang boleh dikering menggunakan mesin itu termasuk ikan pari, ikan gelama dan ikan duri,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis perasmian Komuniti Perikanan (myKP) di Pangkalan Sungai Ayam di sini.
Pada majlis itu, Noraini menyampaikan surat penyerahan mesin mini kepada Ketua Jaringan Perikanan (KJP), Abdullah Koming.
Noraishah berkata, setakat ini penerima mesin itu hanya melibatkan komuniti tersebut yang terdiri daripada 47 orang ahli.
“Projek ini masih dalam proses percubaan dan sekiranya berjaya, jabatan berhasrat untuk mengembangkan teknologi ini kepada industri pemprosesan ikan kering di seluruh negeri Johor.
“Jabatan memperkenalkan inisiatif ini kerana mahu memastikan komuniti perikanan di Johor tidak ketinggalan dengan teknologi terkini yang dapat menjamin penghasilan ikan kering yang lebih berkualiti dan menjimatkan masa,” katanya. – UTUSAN ONLINE