BALIK PULAU: Tiada apa yang dapat diungkapkan oleh sebuah keluarga di Kampung Sungai Pinang di sini selain meluahkan rasa syukur diberi tempat berteduh sementara, biarpun diubah suai daripada bekas reban ayam berhampiran ladang kelapa sawit.
Suzana Mansor, 35, berkata, dia sekeluarga terpaksa tinggal di bangsal yang didirikan dengan zink itu sejak awal bulan ini sementara menunggu rumah baharu yang dibina Tenaga Nasional Berhad (TNB) siap bulan depan.
Menurut ibu kepada tiga cahaya mata itu, kediaman baharu tersebut dibina di atas tanah pusaka bagi menggantikan kediaman lama mereka yang didiami sejak empat tahun lalu.
“Kami sekeluarga sudah selesa tinggal dalam keadaan sebegini dan anak-anak dibesarkan dalam suasana serba kekurangan sejak lahir. Kesempitan hidup membuatkan kami tabah menghadapi dugaan dan menerima apa yang berlaku selama ini.
“Sementara menunggu rumah baharu siap, kami ubah suai reban ayam ini menjadi tempat tinggal manakala bekalan elektrik dipinjam dari rumah keluarga dengan bayaran RM100 sebulan,” katanya ketika ditemui di sini semalam.
Terdahulu kunjungan Mingguan Malaysia ke kediaman sementara keluarga tersebut mendapati, keadaan bangsal yang diubah suai daripada reban ayam itu hanya beralaskan tikar plastik dan karpet lusuh manakala zink berwarna merah dijadikan penghadang sebahagian struktur rumah.
Selain itu tempat duduk yang kebiasaan dibina pada bangsal kayu dijadikan sebagai katil atau tempat tidur keluarga berkenaan.
Cerita Suzana, dia terpaksa bekerja keras menjual ayam kampung dan ketam di lokasi-lokasi tapak pembinaan di kawasan Bayan Baru dekat sini bagi membantu menguruskan keluarganya dengan pendapatan harian antara RM30 hingga RM40 sehari.
Menurut Suzana, nasib keluarganya bertambah malang apabila suami, Rosman Darus, 45, yang bekerja sebagai pemandu lori sampah di sebuah syarikat swasta terlibat dalam kemalangan dengan treler semasa menunggang motosikal di Jalan Bharu dua minggu lalu.
“Suami kini terlantar di rumah dan masih tidak dapat bekerja disebabkan kakinya dimasukkan besi. Sayalah yang menguruskannya termasuk menyediakan makan minum dan memapah ke tandas,” katanya.
Jelas wanita itu, pernah mereka sekeluarga terputus bekalan makanan dan memberi anak minum air kosong disebabkan berdepan kesempitan wang.
Tambahnya, mereka sekeluarga kini hanya bergantung bantuan bulanan RM200 dari Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan makanan bulanan dari pejabat zakat selain
menerima wang sumbangan daripada orang ramai termasuk pertubuhan bukan kerajan (NGO). -UTUSAN ONLINE