KUALA LUMPUR: Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, pembangunan Islam akan terus diperkukuh.
Katanya, Belanjawan 2021 memperuntukkan RM1.4 bilion bagi pengurusan dan pembangunan hal ehwal Islam di bawah Jabatan Perdana Menteri.
Beliau berkata, kerajaan akan memperkasa pengurusan wakaf melalui kerjasama antara Yayasan Waqaf Malaysia dengan agensi-agensi kerajaan Persekutuan, syarikat milik kerajaan (GLC) dan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC).
“Pelan Induk Wakaf Nasional akan diwujudkan bagi memastikan pengurusan wakaf yang lebih cekap dan dapat memaksimumkan mobilisasi aset wakaf masa depan.
“Selain itu PNB melalui Amanah Saham Nasional Berhad atau ASNB akan memperkenalkan perkhidmatan wakaf kepada semua pemegang unit amanah ASNB,” katanya.
Beliau berkata, di bawah perkhidmatan itu, pemegang unit boleh mewakafkan sebahagian unit ke dalam tabung wakaf ASNB dan mereka layak mendapat potongan cukai pendapatan.
Katanya, pulangan berterusan daripada tabung wakaf tersebut akan disalurkan kepada projek wakaf berkepentingan nasional yang akan dikenal pasti PNB.
Selain itu katanya, bagi menghargai jasa 4,000 guru takmir sebagai antara penggerak komuniti di peringkat kariah, kerajaan bersetuju menaikkan kadar elaun guru terbabit daripada RM800 kepada RM900 sebulan.
“Sebagai tambahan, pemberian bayaran khas one-off sebanyak RM500 kepada imam, bilal, siak, noja, merbut, guru takmir dan guru KAFA. Pemberian bantuan khas itu dijangka memberi manfaat kepada hampir 70,000 orang,” katanya. – UTUSAN ONLINE