MELAKA: Melaka mengharapkan penekanan terhadap sektor pelancongan sebagai antara agenda pemulihan ekonomi yang turut disentuh dalam Belanjawan 2021 yang akan dibentangkan esok.
Ketua Menteri, Datuk Seri Sulaiman Md. Ali berkata, sebagai sebuah negeri berasaskan pelancongan, sudah tentu mereka mengharapkan ada khabar gembira untuk memulihkan sektor itu.
“Sektor pelancongan Melaka memang amat terjejas, ramai pekerja dalam industri itu terpaksa dibuang kerja, jadi kita harap belanjawan di peringkat nasional mampu merancakkan semula.
“Disamping itu kita juga harap dapat sama-sama mencari kaedah untuk menangani isu tersebut agar industri pelancongan khususnya di negeri ini dapat terus bertahan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas mengadakan lawatan ke agensi-agensi di bawah Kementerian Dalam Negeri (KDN) di kompleks itu di Ayer Keroh, hari ini.
Yang turut hadir, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Hasim Hasan.
Dalam perkembangan sama, Sulaiman yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lendu mengharapkan Belanjawan 2021 yang mengetengahkan empat tema terutamanya mengambil peduli terhadap rakyat dapat disokong kesemua ahli Parlimen.
“Saya rasa sudah pasti Belanjawan 2021 ini ditunggu-tunggu oleh semua pihak termasuk parti-parti politik dan harap bajet ini dapat diterima dan disokong 100 peratus semua wakil rakyat.
“Jangan fikirkan terlalu dalam agenda politik kerana rakyat di luar sana memerlukan banyak perkara terutamanya ketika kita masih mengharungi pandemik Covid-19,” katanya. -UTUSAN ONLINE