Melaka catat kes tipu belian ‘online’ RM10.8 juta - Utusan Malaysia

Melaka catat kes tipu belian ‘online’ RM10.8 juta

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Kes tipu pembelian atas talian di negeri ini meningkat hampir dua kali ganda dengan jumlah kerugian sebanyak RM10.8 juta direkodkan berbanding tempoh sama Januari hingga September tahun lalu. 

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial negeri, Superintenden E. Sundra Rajan berkata, jumlah tersebut dikesan mula meningkat ketika pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada Mac lalu

“Kes penipuan mencatatkan jumlah tertinggi di negeri ini dengan sebanyak 858 kes melibatkan kes tipu atas talian, sindiket penipuan penyamaran sebagai pegawai bank (macau scam) dan sindiket pinjaman tidak wujud. 

“Bagaimanapun, statistik menunjukkan kes pembelian atas talian merekodkan peningkatan luar biasa iaitu sebanyak 158 kes dengan jumlah kerugian adalah RM10.8 juta berbanding hanya 57 kes dengan jumlah kerugian RM5.6 juta tahun lalu,” katanya ketika ditemui di sini hari ini. 

Mengulas lanjut, Sundra Rajan berkata, peningkatan itu mungkin disebabkan oleh aktiviti terhad pada waktu PKP yang membuatkan orang ramai banyak menghabiskan masa menggunakan telefon bimbit, sekali gus berisiko untuk ditipu. 

Tambahnya, berdasarkan rekod keseluruhan jenayah komersial di negeri ini, sebanyak RM24.3 juta kerugian direkodkan merangkumi pelbagai kes termasuk pecah amanah, pemalsuan dan juga kes-kes jenayah siber.

“Dalam tempoh sama tahun lalu, jumlah kes jenayah komersial meningkat sebanyak 223 kes berbanding 673 kes membabitkan kerugian berjumlah RM19.2 juta.

“Bagi kes penipuan, ia boleh berlaku disebabkan pemilik akaun tersebut menjadi sasaran tanpa mengetahui butiran peribadinya telah digunakan oleh pihak ketiga ataupun pemilik sendiri telah menjual akaun bank mereka untuk digunakan dalam urusan transaksi pemindahan wang,” dedahnya. 

Tambahnya, bagi mengekang peningkatan kes yang mendadak, Polis Diraja Malaysia (PDRM) khususnya Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Bukit Aman telah melancarkan ‘Op Mule’ secara serentak di seluruh negara dengan menyasarkan pemilik akaun yang terlibat dalam tiga modus operandi jenayah komersial iaitu macau scam, pinjaman tidak wujud dan e-belian. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN