YAN: Seorang mekanik memberi alasan terpaksa mengambil dadah bagi meningkatkan tenaga untuk bekerja semasa ditahan di rumahnya di Kampung Jalan Baru di Guar Chempedak dekat sini semalam.
Lelaki berusia 37 tahun itu ditahan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Daerah Yan dalam serbuan kira-kira pukul 11 pagi.
Ketua AADK Daerah Yan, Mohamad Ramli berkata, serbuan dilakukan selepas pihaknya menerima aduan berhubung kegiatan suspek yang menjadikan bengkel di rumahnya sebagai tempat melepaskan gian.
“Semasa ditahan, mekanik itu yang merupakan bapa kepada enam orang anak berusia antara dua hingga 17 tahun mengaku mengambil dadah jenis syabu dan opiat sejak enam tahun lalu.
“Suspek memberikan alasan mengambil dadah untuk menambah tenaga bagi membaiki kereta pelanggan dengan segera,” katanya di sini hari ini.
Kata Mohamad, pihaknya turut menahan seorang lagi individu disyaki penagih dadah iaitu tukang kayu berusia 28 tahun di Kampung Teroi Bukit di sini.
“Suspek dipercayai menjadikan rumahnya sebagai sarang penagihan dadah bersama beberapa rakannya sejak beberapa bulan lalu.
“Bagaimanapun, semasa serbuan, hanya tukang kayu itu sahaja berada di dalam rumahnya,” ujarnya.
Tambahnya, kedua-dua suspek didapati positif dadah jenis methamphetamine dan opiat.
“Siasatan dilakukan mengikut Seksyen 3(1) Akta Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan 1983),” katanya. -UTUSAN ONLINE