YAN: Seorang mekanik bot meninggal dunia ketika melakukan aktiviti berbasikal di Gunung Jerai dekat sini hari ini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 11 pagi itu, mangsa, Mohd. Ariff Mustaffa, 50, disahkan meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke Hospital Yan.
Ketua Polis Daerah Yan, Deputi Superintenden Shahnaz Akhtar Haji berkata, pihaknya menerima laporan mengenai kejadian itu pada pukul 11.20 pagi.
Kata beliau, waris kepada lelaki itu memaklumkan mangsa telah keluar dari rumahnya di Batu 21 1/2 Jalan Yan di sini untuk ke Gunung Jerai pada pukul 7.20 pagi.
“Mangsa keluar rumah dengan memandu kereta dan membawa bersama sebuah basikal miliknya untuk naik ke Gunung Jerai dengan berbasikal.
“Bagaimanapun sebaik sahaja tiba di pondok rehat pertama Gunung Jerai, mangsa dikatakan keletihan dan berhenti seketika untuk berehat sebelum jatuh pengsan,” katanya di sini hari ini.
Menurutnya, orang awam yang kebetulan melalui kawasan kejadian bertindak menghubungi pihak hospital untuk bantuan.
“Mangsa kemudian disahkan telah meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke hospital,” katanya.
Beliau berkata, mangsa dikatakan pernah mendapatkan rawatan di hospital kerana menghidap penyakit darah tinggi sejak setahun lalu tetapi berdasarkan maklumat hospital, mangsa gagal mengikuti tarikh rawatan susulan.
“Tiada kesan jenayah ditemui pada anggota badan mangsa dan mayat mangsa dibawa ke ke Jabatan Forensik Hospital Sultan Abdul Halim untuk dibedah siasat,” katanya.
Tambahnya, setakat ini kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut. -UTUSAN ONLINE