Medan 88, Salak Tinggi, Sepang dikenakan Temco - Utusan Malaysia

Medan 88, Salak Tinggi, Sepang dikenakan Temco

PETUGAS barisan hadapan melakukan pemeriksaan rumah ke rumah bagi proses saringan Covid-19 di kawasan pusat perniagaan Medan 88, Bandar Baru Salak Tinggi Sepang.-UTUSAN/ FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Selepas 39 kes positif Covid-19 direkodkan di Medan 88, Salak Tinggi, Sepang, Selangor, kerajaan memutuskan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan Secara Pentadbrian (Temco) di kawasan itu bermula esok (12 November) hingga 25 November ini.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, pelaksanaan Temco itu melibatkan sebanyak 88 unit rumah kedai, 284 premis dan seramai 800 penduduk.

Katanya, perintah itu dibuat bagi membolehkan pihak Kementerian Kesihatan terus melaksanakan saringan bersasar dan mengawal pergerakan individu bagi  memutuskan penularan Covid-19 dalam komuniti. 

“Prosedur operasi standard (SOP) adalah sama seperti yang diumumkan sebelum ini.  Bagaimanapun, premis perniagaan bagi barangan  keperluan asas dibenarkan untuk beroperasi,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Dalam pada itu, Ismail Sabri berkata, Temco di Penjara Reman dan Kuarters Penjara  Reman Pulau Pinang ditamatkan selepas penilaian risiko mendapati situasi  kes Covid-19 di penjara itu menunjukkan trend penurunan dan terkawal yang mana kes terakhir positif pada 5  November lalu. 

Beliau menjelaskan, sebanyak 1,178 saringan dilaksanakan dan 189  kes positif direkodkan di kawasan penjara ini.

“Perintah Temco di Pangsapuri Mutiara Kasih dan Taman  Khazanah Indah, Lahad Datu, Sabah juga ditamatkan selepas mendapati kesemua keputusan 5,189 sampel saringan kedua telah diperoleh dan keputusannya negatif.

“Tiada lagi kes baharu positif Covid-19 juga direkodkan di kedua-dua lokaliti ini dalam masa 18 hari terkini,” katanya. 

Sementara itu, Ismail Sabri memberitahu, Polis Diraja Malaysia (PDRM) menahan 536 individu atas kesalahan ingkar arahan SOP dengan seramai 527 individu telah dikompaun manakala lapan direman dan seorang dijamin.

Katanya, antara kesalahan ingkar SOP itu termasuklah gagal mematuhi arahan penjarakan fizikal (153), tidak memakai pelitup muka (134), premis gagal menyediakan peralatan atau merekod butiran  pelanggan (107), merentas negeri atau daerah tanpa kebenaran (40), premis beroperasi lebih masa (37), aktiviti pusat hiburan (lapan) dan lain-lain kesalahan (57). 

“Semalam, Operasi Benteng berjaya menahan 31 pendatang asing tanpa izin (PATI) dan lima penyeludup serta merampas enam kenderaan darat dalam operasi yang diadakan di seluruh negara,” katanya.

Berhubung kuarantin wajib, katanya, sehingga semalam, seramai 64,592 individu telah pulang ke tanah air melalui pintu masuk sempadan antarabangsa.  

Daripada jumlah itu, katanya, seramai 9,515 individu sedang  menjalani kuarantin wajib di 67 hotel dan 21 premis lain, selain 385 individu pula telah dibawa ke hospital untuk rawatan manakala 54,692 individu dibenarkan pulang ke rumah. 

“Semalam, seramai 526 individu tiba di semua pintu masuk  antarabangsa negara dan kesemuanya telah dikuarantin  wajib di stesen kuarantin seluruh negara,” katanya. -UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya