MDBG tangkap 300 ternakan berkeliaran - Utusan Malaysia

MDBG tangkap 300 ternakan berkeliaran

ANTARA ternakan berkeliaran yang ditangkap Majlis Daerah Batu Gajah yang dilaksanakan sejak 2017 hingga September lalu. - FOTO MDBG
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BATU GAJAH: Majlis Daerah Batu Gajah (MDBG) menangkap kira-kira 300 ternakan berkeliaran tidak dipantau penternak yang menimbulkan rasa tidak senang dalam kalangan komuniti.

Menurut MDBG, tindakan menangkap ternakan berkeliaran itu diambil dalam operasi bersepadu setiap bulan bermula 2017 hingga September 2020.

Katanya, MDBG memandang serius masalah itu dan segala tindakan memerlukan penelitian dalam memastikan keseimbangan seluruh pihak termasuk komuniti itu sendiri, penternak dan juga agensi kerajaan yang terlibat.

“Punca utama yang dikenal pasti dalam menangani masalah itu adalah keperluan kawasan penternakan atau padang ragut yang khusus bagi penternak menjalankan aktiviti. 

“Selain itu, faktor lain seperti sikap penternak yang tidak bertanggungjawab terhadap ternakan mereka juga menyumbang kepada jumlah tangkapan haiwan ternakan berkeliaran,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut kenyataan itu lagi, isu haiwan ternakan berkeliaran di dalam kawasan pentadbiran MDBG bukanlah isu yang baru dibangkitkan.

Bagaimanapun katanya, sejak kebelakangan ini, fakta pelaksanaan tindakan oleh MDBG dan agensi yang terlibat dalam melaksanakan tindakan penyelesaian telah dimanipulasikan secara tidak wajar oleh pihak yang tidak bertanggungjawab. 

“Gambaran yang kurang jelas diberikan kepada komuniti mengenai isu ini juga mencetuskan suasana tidak harmoni antara MDBG dan komuniti,” katanya.

Katanya, kepesatan pembangunan seperti pembinaan perumahan baharu termasuk perkembangan sektor perindustrian di kawasan operasi merupakan faktor penting yang menyokong pembangunan ekonomi turut mengakibatkan kadar guna tanah yang tinggi dari tahun ke tahun.

Jelasnya, ia menjadikan kawasan yang amat terhad kepada penternak untuk melepaskan ternakan mereka.

Katanya, secara dasarnya juga, jumlah penternak dan ternakan yang berada di sesebuah kawasan perlu didaftarkan dan dipantau secara khusus untuk menjalankan aktiviti oleh Jabatan Perkhidmatan Veterinar.

“Penyelesaian permasalahan secara menang-menang merupakan agenda utama yang perlu diambil kira sebelum sebarang tindakan dapat diambil. MDBG memandang serius isu ini dan keprihatinan ahli komuniti setempat dalam menangani isu itu juga sangat dihargai,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya