MCF beri sumbangan sempena Hari Deepavali - Utusan Malaysia

MCF beri sumbangan sempena Hari Deepavali

N. Logrendran (dua dari kiri) dan Yong Chou Lian (tengah) menyerahkan replika cek sumbangan kepada wakil tiga organisasi dalam satu majlis di Seremban baru-baru ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Sempena sambutan Deepavali yang akan diraikan esok, Matrix Concepts Foundation (MCF) memberi sumbangan berjumlah RM56,000 kepada tiga organisasi sebagai tanggungjawab sosial korporat kepada golongan memerlukan.

Pengerusi MCF, Datuk N. Logrendran berkata, tiga organisasi tersebut adalah Pertubuhan Hospice Negeri Sembilan, Persatuan Divine Life Negeri Sembilan dan Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan Tamil (SRJKT) Bandar Sri Sendayan.

“Sumbangan tersebut selaras dengan tanggungjawab sosial korporat MCF yang terlibat dalam program pendidikan, khidmat masyarakat dan pembangunan terutama dalam menyambut perayaan Deepavali.

“Dalam keadaan pandemik Covid-19 ramai golongan yang terjejas terutama kumpulan B40 dan kami telah mengenal pasti 26 pelajar melalui Persatuan Ibu Bapa dan Guru dari SRJK (T) Bandar Sri Sendayan,” katanya dalam kenyataan baru-baru ini.

Menurut Logrendran, MCF memberikan sumbangan wang tunai RM100 kepada 26 pelajar terpilih bagi memberi keceriaan kepada mereka sempena Deepavali.

“Bagi Persatuan Divine Life Negeri Sembilan, MCF menyampaikan sumbangan wang tunai RM20,000 selaras dengan inisiatif persatuan yang menyediakan pendidikan percuma kepada kanak-kanak prasekolah yang miskin dan kurang berkemampuan di 12 buah tadika di Negeri Sembilan dan Selangor.

“Sementara itu, Persatuan Hospice Negeri Sembilan yang menyediakan penjagaan paliatif bagi pesakit kronik menerima sumbangan wang tunai RM30,000 untuk kos rawatan dan keperluan untuk penjagaan pesakit,” katanya.

Menurut Logrendran, MCF telah menyokong inisiatif Persatuan Hospice Negeri Sembilan sejak tahun 2015 dan Persatuan Divine Life Negeri Sembilan sejak dua tahun lalu.

Sumbangan replika cek telah diserahkan kepada Presiden Persatuan Hospice Negeri Sembilan, Dr. Anthony Gilbert dan Ahli Jawatankuasa Persatuan Divine Life, G. Jeganathan dan wakil SRJK(T) Bandar Sri Sendayan yang disaksikan oleh Penasihat MCF, Datin Yong Chou Lian. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya