MBSA, MBPJ sudah lama buat ‘live’ mesyuarat majlis - Utusan Malaysia

MBSA, MBPJ sudah lama buat ‘live’ mesyuarat majlis

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) memaklumkan para penduduk di bawah pentadbirannya boleh menyaksikan mesyuarat penuh majlis itu ‘live’ menerusi laman Youtube.

Datuk Bandarnya, Datuk Haris Kasim berkata, perkara tersebut malahan telah sedia disiarkan MBSA secara langsung sejak 2018 lagi bagi kemudahan masyarakat menyaksikannya sendiri.

“Mesyuarat penuh majlis ini pada kelaziman diadakan sebulan sekali dan kebiasaannya setiap sesi itu berlangsung hanya selama dua jam,” jelas beliau menerusi kenyataan akhbar hari ini.

Pihak berkuasa tempatan (PBT) di ibu negeri Selangor itu yang dinaik taraf pada 10 Oktober 2000 lalu ketika ini ada lebih 20 ahli majlis dilantik daripada zon Majlis Perwakilan Penduduk.

Beliau mengulas saranan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamarudin pada 5 November lalu yang meminta semua PBT membuat ‘live’ sesi mesyuarat penuh majlis.

Bahkan, MBSA disebut beliau sendiri boleh menjadi perintis sebelum dicontohi 16 lagi PBT bertaraf bandar raya dan kemudian diperluaskan meliputi kesemua 169 PBT seluruh negara.

Mengulas lanjut, Haris menambah, pihak MBSA juga memang ada menjemput kesemua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan Ahli Parlimen di negeri itu hadir mesyuarat berkenaan.

“Untuk maklumat, mesyuarat penuh ini boleh diakses dengan menggunakan akaun Youtube Majlis Bandaraya Shah Alam,” tegas beliau lagi sebagai merujuk kepada saranan berkenaan.

Perkara sama turut disahkan oleh Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) yang mengakui telah melaksanakan program siaran secara langsung (live streaming) mesyuarat bermula 2013.

Ia bertujuan untuk memberikan akses secara maya kepada masyarakat setempat bagi mudah mengikuti mesyuarat penuh MBPJ dengan lebih dekat tanpa perlu hadir ke PBT tersebut.

“Melalui pendekatan ini, ia dapat bantu masyarakat Petaling Jaya untuk tahu perkembangan perancangan pembangunan setempat bandar raya,” jelas kenyataan Sekretariat Media MBPJ.

Selain itu ujarnya, kaedah penyiaran secara langsung mesyuarat penuh tersebut berjaya meningkatkan keyakinan rakyat terhadap ketelusan dan profesionalisme kakitangan MBPJ.

Melalui pendekatan ini, masyarakat dapat menilai ketelusan serta tadbir urus MBPJ dengan lebih berkesan, selari visi ‘Bandar Raya Pintar, Mampan, Berdaya Tahan dan Dinamik’.

PBT itu dinaik taraf sebagai bandar raya pada 20 Jun 2006 iaitu kedua di Selangor selepas MBSA dan kesepuluh di Malaysia sejak ibu kota Kuala Lumpur sebagai perintis pada 1972.

“Siaran langsung sesi mesyuarat penuh MBPJ boleh ditonton pada setiap bulan melalui laman sesawang rasmi PBT berkenaan iaitu www.mbpj.gov.my,” kata kenyataan tersebut lagi. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya