HULU TERENGGANU: Mayat seorang lelaki berusia 31 tahun ditemui dalam keadaan reput di kawasan ladang kelapa sawit di Kampung Cherang Nibong di Ajil dekat sini hari ini.
Penemuan mayat di tempat duduk pemandu kenderaan pacuan empat roda jenis Nissan Navara itu disedari oleh
seorang penternak lembu, Yusoff Mat Noh, 60, ketika mencari haiwan peliharaannya kira-kira pukul 4 petang tadi.
Menurut Yusoff, dia terpanggil untuk menghampiri kenderaan itu berikutan curiga dengan kedudukannya yang tidak berubah sejak kali pertama dilihat pada petang Selasa lalu.
“Pada mulanya saya sangka mangsa berehat dalam kereta tetapi petang tadi saya didapati kenderaan dan mangsa masih berada di tempat sama jadi saya cuba mengampirinya.
“Saya terkejut melihat lelaki dihurung lalat dan segera maklumkan kepada orang kampung dan menghubungi pihak polis,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah, Deputi Superitenden Mohd. Adli Mat Daud berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung penemuan mayat tersebut kira-kira pukul 5 petang.
Katanya, siasatan mendapati mayat yang lengkap berpakaian itu dipercayai meninggal dunia kira-kira tiga minggu lalu.
“Identiti mangsa telah dikena lpasti dan berasal dari Kampung Tok Randok, Ajil.
“Mangsa didapati melarikan kenderaan pacuan empat roda itu tiga minggu lalu ketika dibawa abang iparnya ke Balai Polis Ajil berhubung kes dadah,” katanya.
Menurut Mohd. Adli, mayat mangsa dibawa ke Hospital Hulu Terengganu untuk bedah siasat dan siasatan lanjut masih dijalankan bagi mengetahui punca sebenar kematian. -UTUSAN ONLINE