PORT DICKSON: Mayat seorang lelaki yang dikhuatiri lemas sejak petang semalam ditemukan tersangkut di pokok bakau Pantai Kampung Balak, Pasir Panjang, kira-kira pukul 1.30 petang inii.
Mayat mangsa, Muhammad Azri Abdullah, 25, ditemukan tersangkut di kawasan pokok bakau selepas hilang dibawa arus dan air pasang ketika cuba mengharungi air laut untuk memancing di Pulau Asam sejauh sekitar 70 meter dari jeti nelayan Sungai Sekawang, Pasir Panjang, dekat sini petang semalam.
Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) negeri, Ahmad Mukhlis Mokhtar berkata, mayat mangsa ditemukan oleh penduduk kampung.
“Mayat mangsa ditemukan tersangkut di celah pokok bakau dan telah serahkan kepada polis untuk urusan seterusnya.
“Mayat dibawa ke Hospital Port Dickson untuk bedah siasat sebelum diserahkan kepada keluarganya untuk urusan pengebumian di Tanah Perkuburan Bandar Sunggala,” katanya.
Mangsa meninggalkan isteri, Nurhidayah Tus Salikin Mohd. Said, 33, dan dua orang anak masing-masing berusia tiga dan setahun.
Sementara itu, menurut Ahmad Mukhlis, seramai 35 orang anggota dan pegawai termasuk 20 penyelam terbabit dalam operasi mencari dan menyelamat (SAR) yang melibatkan Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) Balai Bomba Teluk Kemang, Balai Bomba Port Dickson dan Balai Bomba Seri Jempol.
Menurutnya, turut digunakan ialah dua bot dan dua buah kayak bagi membantu mempercepatkan operasi menyelamat di lokasi terakhir mangsa terjatuh semalam.
“Kami melakukan rondaan mencari mangsa meliputi kawasan 600 meter pesisiran pantai hingga ke tengah laut Pasukan penyelam pula mencari di kawasan berdekatan lokasi pembiakan tiram dan kelong,” katanya.
Operasi SAR tersebut turut melibatkan anggota Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM),Angkatan Pertahanan Awam (APM), Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan polis. – UTUSAN ONLINE