LUMUT: Mayat seorang lelaki ditemui terapung berhampiran kawasan medan ikan bakar Teluk Batik di sini petang semalam.
Ketua Polis Daerah Manjung, Asisten Komisioner Nor Omar Sappi berkata, mayat tersebut ditemukan oleh orang awam sebelum melaporkannya kepada Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Manjung pada pukul 5.45 petang.
“Hasil siasatan mendapati simati merupakan seorang lelaki Melayu berusia 40 tahun yang berasal dari Pulau Pangkor.
“Menurut waris simati, mangsa dikatakan sering meracau dan telah keluar dari rumah seorang diri dengan menaiki sampan sejak dua hari lepas,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Beliau berkata, setakat ini kes tersebut diklasifikasikan sebagai kematian mengejut.
Menurut Nor Omar, mayat dihantar ke Hospital Seri Manjung di sini untuk bedah siasat hari ini.- UTUSAN ONLINE