SEREMBAN: Seorang pekerja kilang warga Nepal maut selepas kepalanya tersepit pada mesin gulung (roller) di sebuah kilang plastik di Senawang di sini, semalam.
Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Mohd. Said Ibrahim berkata, polis menerima maklumat berhubung kejadian tersebut kira-kira pukul 6.25 pagi daripada seorang pekerja wanita tempatan.
“Siasatan di tempat kejadian mendapati seorang lelaki warga Nepal berusia 31 tahun yang merupakan pekerja kilang tersepit pada mesin roller.
“Mangsa yang mengalami kecederaan parah di bahagian kepala dan tangan maut di tempat kejadian,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Mohd. Said berkata, setakat ini kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut dan bedah siasat dijalankan bagi mengetahi punca kejadian. -UTUSAN ONLINE