CYBERJAYA: Terkesan dengan pelbagai permasalahan pendidikan yang semakin kritikal kebelakangan ini, Dr. Maszlee Malik mengambil inisiatif menubuhkan sebuah pertubuhan bukan kerajaan atau gerakan khas.
Bekas Menteri Pendidikan itu melancarkan Untuk Malaysia yang dirujuknya bukan sebuah pertubuhan biasa tetapi lebih kepada badan sukarela melibatkan rakyat prihatin isu tersebut.
“Untuk Malaysia terbuka kepada semua tanpa kira ideologi politik, usia, bangsa, agama dan latar belakang malah semua pihak berkaitan pendidikan dijemput menyertai kami,” katanya.
Maszlee yang juga pengasas gerakan itu berkata demikian dalam sidang akhbar selepas melancarkan Untuk Malaysia dan turut merasmikan laman sesawang badan bebas tersebut.
Mengulas lanjut, beliau bersedia untuk bertemu sendiri Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) bagi berbincang isu semasa melibatkan bidang pendidikan yang terlepas pandang.
“Ada pihak luar yang mahu membantu pihak sekolah kerana kemudahannya daif, namun sebab kerenah birokrasi, mereka tidak tahu cara betul walhal perkara itu mudah diuruskan,” jelasnya.
Ahli Parlimen Simpang Renggam itu turut memberi contoh beberapa inisiatif awal yang pernah dibuat Untuk Malaysia melalui program Siswa Jaga Siswa dan Kita Jaga Sabah baru-baru ini.
Hasilnya, banyak pihak tampil bantu meskipun derma hanya RM1 apatah lagi sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang menyaksikan sekolah begitu lama ditutup.
“Saya juga tersentuh apabila ramai Ahli Parlimen jumpa saya sendiri minta tolong ada pelajar universiti di kawasan mereka yang tidak mampu beli komputer riba sebab miskin,” katanya.
Justeru, Maszlee berharap masyarakat terutama badan korporat kecil dan pemimpin komuniti tidak kira latar belakang tampil membantu kerana Untuk Malaysia bersedia menjadi perantara.
Ini ekoran banyak laporan diterima mengenai kesukaran pelajar miskin dari keluarga B40 yang gagal mendapat akses pendidikan sempurna ketika PKP bahkan ada juga langsung tercicir.
“Kami memerlukan ramai sukalerawan dan penggerak untuk membantu rakyat marhaen yang terkesan selain sumbangan syarikat tempatan untuk membaik pulih kelemahan.” tegasnya.
Beliau turut berkongsi pengalaman dirinya sendiri sewaktu pernah menerajui KPM apabila menyedari ada perkara tertentu membataskan penglibatan agensi kerajaan bertindak segera.
Tambah Maszlee, mereka yang berminat untuk turut serta selain memberi sumbangan atau mohon bantuan boleh melayari portal untukmalaysia.my bagi mendapatkan informasi lanjut. -UTUSAN ONLINE