Maszlee anjur Projek Simpang Tak Lapo!  - Utusan Malaysia

Maszlee anjur Projek Simpang Tak Lapo! 

MASZLEE MALIK
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Ahli Parlimen Simpang Renggam, Dr. Maszlee Malik mengambil inisiatif menganjurkan Projek Simpang Tak Lapo! untuk membantu para penduduk di kawasannya yang terkesan akibat Covid-19.

Menurut Maszlee, projek itu untuk memastikan tiada insan yang kelaparan menerusi pengedaran 1,000 pek makanan kepada keluarga yang terjejas.

Katanya, keluarga miskin, ibu tunggal, keluarga dengan anak orang kurang upaya (OKU) malah juga sesiapa sahaja yang tidak mempunyai bekalan makanan di rumah boleh memohon di bawah projek tersebut.

“Sesiapa sahaja yang berada dalam kesusahan dan memerlukan bantuan segera dan boleh memohon di bit.ly/simpangtaklapo.

“Insya Allah 50 pek terawal kepada 50 pemohon yang mengisi borang boleh diambil seawal petang ini pukul 3 petang di Pejabat Parlimen Simpang Renggam,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Maszlee, jika ada penduduk mempunyai kekangan untuk datang mengambil pek makanan di Pejabat Parlimen, boleh maklumkan menerusi talian 01139697288.

Katanya, beliau juga memohon agar bantuan itu disebarluaskan agar ia sampai kepada seluruh warga yang memerlukan.

“Insya Allah sama-sama kita pastikan tak ada insan yang kelaparan di Simpang Renggam,” katanya.

Terdahulu, Maszlee memaklumkan, Pejabat Parlimen Simpang Renggam telah mengedarkan sehingga 4,490 pek makanan kepada lebih dari 4,490 keluarga terkesan.

Ujar beliau semakin ramai keluarga yang terkesan dengan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak Mac lalu apabila mereka tidak lagi mempunyai bekalan wang untuk membeli barangan dapur.

“Sejak menjadi Ahli Parlimen bermula 9 Mei 2018 yang lalu, salah satu beban yang saya akan pikul hingga ke akhirat adalah beban kebajikan rakyat di Simpang Renggam.

“Masa berlalu dan semakin lama saya turun berjumpa dengan penduduk dan masyarakat bawahan, semakin terdedah kesusahan penduduk khususnya warga kampung di kawasan-kawasan tertentu.

“Sebahagian besar mereka ini kadangkala tidak mempunyai bekalan makanan yang mencukupi untuk seluruh keluarga,” katanya. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN