KOTA BHARU: Dana sebanyak RM5 juta diperlukan untuk pembinaan semula Masjid Ar-Rahman, Mukim Lata Rek di Kuala Krai bagi menggantikan bangunan lama yang sudah berusia lebih 40 tahun.
Pengerusi Masjid Al-Rahman, Abdul Rahman Yaakob berkata, sekiranya peruntukan kewangan hasil sumbangan orang ramai mencukupi, pembinaannya dijangka bermula awal tahun depan .
Katanya, seluruh ahli jawatankuasa masjid amat mengalu-alukan sumbangan orang ramai bagi membolehkan pembinaan semula masjid itu direalisasikan.
“Masjid ini akan dibina di atas tapak asal dan menampung 400 jemaah dalam satu-satu masa. Kedudukan masjid ini kira-kira satu kilometer dari jalan alternatif Kuala Krai-Gua Musang iaitu laluan ke Air Terjun Lata Rek.
“Jarak masjid ke satu lagi lokasi pelancongan, Istana Sangkut pula hanya kira-kira tiga kilometer,” katanya dalam sidang akhbar Jawatankuasa Masjid Ar-Rahman bersama Yayasan Pembangunan Usahawan Kelantan (YPUK) di sini hari ini.
Yang hadir sama, Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Datuk Abdullah Yaakob; Pengerusi YPUK, Hanafi Yusoff dan Pengurus Pembinaan Masjid Ar-Rahman, Abd. Halim Yusuf.
Sementara itu, Abd. Halim berkata, YouTuber terkenal, Syahmi Sazli dijangka akan terlibat dalam projek pembinaan Masjid Al-Rahman dengan cara mempromosi dan mengajak orang ramai menderma kepada tabung masjid itu.
“Saya yakin kerjasama yang diberikan oleh pihak Syahmi Sazli nanti lebih banyak kutipan derma akan diterima,” katanya.
Orang ramai yang ingin menyumbang boleh berbuat demikian melalui akaun Bank Rakyat 11-0157663-3 dengan nama Masjid Ar-Rahman Mukim Lata Rek atau boleh menghubungi Tuan Siti Suhajira Tuan Soh di 013-9911383. -UTUSAN ONLINE