Masih ingat tragedi, rakan terkorban - Utusan Malaysia

Masih ingat tragedi, rakan terkorban

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGETOWN: Anggota Pasukan Gerakan Am (PGA), Sarjan Norihan Tari, 39, masih mengingati tragedi tembakan di pos kawalan sempadan Malaysia-Thailand di Padang Besar, Perlis Selasa lalu termasuk rakannya yang terkorban dalam insiden itu.

Ketua Polis negeri, Datuk Sahabudin Abd Manan berkata, perkara itu dimaklumkan Norihan yang kini dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Pulau Pinang (HPP) di sini.

Tambah beliau, keadaan Norihan kini juga beransur pulih dan menunjukkan reaksi lebih baik selain turut banyak berkomunikasi berbanding kelmarin.

“Hari ini (semalam) dia memberi respon yang sangat baik, berbual dan tersenyum berbanding semalam (kelmarin) dia bercakap sangat perlahan.

“Mengikut doktor, dia (Norihan) sangat kuat semangat dan boleh mengingati apa yang berlaku terhadapnya termasuk rakannya, mendiang Sarjan Baharuddin Ramli yang terkorban dalam tragedi itu.

“Sebutir lagi peluru masih ada pada bahagian tulang belakang dan doktor akan membuat pemerhatian dan selepas itu barulah tindakan susulan (pembedahan) akan dilakukan,” katanya.

Beliau ditemui pemberita di pekarangan HPP selepas mengiringi juruiring Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, Senior Asisten Komisioner Datuk Yahaya Othman melawat Norihan di HPP pukul 12 tengah hari semalam.

Dalam kunjungan itu, Yahaya turut menyampaikan warkah dan surat penghargaan daripada Yang di-Pertuan Agong kepada Norihan.

Sementara itu, Yahaya berkata, Norihan menunjukkan reaksi teruja dan terharu dengan kenaikan pangkat yang dianugerahkan kepadanya baru-baru ini.

“Besar pengorbanan anggota terbabit dalam mempertahankan benteng negara dan saya mendoakan kesihatannya bertambah baik,” ujarnya.

Dalam kejadian pukul 3.10 pagi Selasa lalu, Norihan dan Baharuddin terkena tembakan dipercayai oleh anggota kumpulan penyeludup ketika bertugas di pos sempadan Malaysia-Thailand, Padang Besar, Perlis.

Bagaimanapun, Baharuddin maut di tempat kejadian selepas ditembak pada bahagian kiri perut.-UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya