Masih ada peluang tidak luluskan Belanjawan 2021 - Anwar Ibrahim  - Utusan Malaysia

Masih ada peluang tidak luluskan Belanjawan 2021 – Anwar Ibrahim 

ANWAR Ibrahim
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, masih ada peluang untuk ahli-ahli Parlimen menyatakan pendirian tegas termasuklah melakukan undi belah bahagian di peringkat jawatan kuasa minggu depan jika tidak bersetuju dengan Belanjawan 2021. 

“Ahli-Ahli Parlimen berhak mempersoal apakah peruntukan-peruntukan ini adalah tambahan kepada yang telah diumumkan atau terhasil daripada pemotongan mana-mana kementerian, berapakah jumlah sebenar belanjawan serta kesan terhadap situasi kewangan negara. 

“Selain isu golongan yang masih mendambakan bantuan seperti pemandu teksi, pengusaha kantin dan ramai lagi, beberapa mekanisme termasuk pengeluaran dana Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan moratorium bank juga perlu diteliti,” katanya dalam satu kenyataan  hari ini.

Dewan rakyat kelmarin meluluskan Belanjawan 2021 pada peringkat dasar melalui undian suara selepas cubaan Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar menggesa agar undi belah bahagian dilakukan namun gagal disebabkan hanya 13 ahli parlimen yang bangun bagi mendesak diadakan undian berbanding 15 yang diperlukan. 

Anwar yang pernah mencuba menjatuhkan PN pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin pada 22 September lalu sehingga sanggup bertemu dan mendapat perkenan Yang di-pertuan Agong memberikan arahan pada saat-saat akhir untuk tidak meneruskan undi belah bahagi itu kerana tidak ingin dilihat tampil menentang insentif baharu yang diumumkan Menteri Kewangan, Tengku Zafrul Abdul Aziz. 

Mengulas berkenaan beberapa ahli Parlimen termasuk Presiden Parti Amanah Negara (Amanah) Mohamad Sabu dan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng yang tidak mahu bangun untuk membolehkan undi belah bahagi dilakukan, Ahli Parlimen Port Dickson itu menjelaskan tindakan tersebut adalah permintaannya untuk ketua-ketua whip parti pembangkang tidak berbuat demikian. 

“Ini supaya ahli-ahli Parlimen dapat meneliti secara terperinci dan mendalam keseluruhan pengumuman Menteri Kewangan. Perlu saya nyatakan di sini, dalam sejarah perjalanan Parlimen Malaysia belum pernah sesuatu belanjawan dipinda dengan jumlah atau dengan cara seperti ini. 

“Ini adalah tanda kesediaan PN melakukan apa sahaja untuk kekal berkuasa termasuk melanggar duluan Parlimen,” katanya. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya