PUTRAJAYA: Pelan Jalinan Digital Negara (Jendela) yang diperkenalkan kerajaan baru-baru ini, bertindak sebagai asas peralihan infrastruktur digital demi menyediakan liputan perkhidmatan jalur lebar menyeluruh dan berkualiti tinggi pada kadar berpatutan semua rakyat.
Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) berkata, dalam konteks ini, ia memberi impak kepada pelbagai pihak termasuk industri tradisional untuk mengadaptasi penggunaan teknologi selain meningkatkan kecekapan operasi mereka.
Pada masa sama, katanya, aktiviti-aktiviti ekonomi digital seperti e-dagang dan teknologi kewangan (fintech) akan bertambah pesat sekali gus menghubungkan lebih ramai pelanggan dalam kawasan yang tidak pernah ditujui.
“Usahawan kecil pula boleh memperluaskan perniagaan dengan aktiviti pemasaran dan transaksi perniagaan digital,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Dalam pada itu, SKMM berkata, bagi merapatkan jurang digital dalam sektor pendidikan, kerajaan memperuntukkan sebanyak RM500 juta di bawah Belanjawan 2021 untuk memastikan kesalinghubungan di 430 sekolah seluruh negara.
Jelasnya, peruntukan sebanyak RM7.4 bilion turut disediakan untuk tempoh dua tahun bagi memperluaskan perkhidmatan jalur lebar terutamanya di kawasan luar bandar.
Katanya, langkah ini sekali gus menggalakkan industri membuat pelaburan setanding atau lebih untuk kawasan bandar dan pinggir bandar.
“Proses fiberisasi ke atas sekolah-sekolah akan turut diberikan perhatian bagi memastikan proses ke arah digitalisasi tersedia kepada golongan pelajar sekolah,” katanya.
Selain itu, kata SKMM, program Jaringan Prihatin sebanyak RM1.5 bilion akan dapat dimanfaatkan kira-kira lapan juta penduduk dari golongan B40 untuk membantu mereka mendapatkan akses Internet.
Bantuan itu, jelas SKMM, membolehkan mereka menerima RM180 setahun (RM15 sebulan) seorang untuk perbelanjaan langganan Internet atau menampung sebahagian kos pembelian telefon bimbit baharu.
“Pemerkasaan Pusat Internet Komuniti (PIK) turut akan dilaksanakan di seluruh negara untuk mengatasi masalah kekurangan alat peranti, kemudahan Internet mahupun keselamatan pelajar untuk menimba ilmu dalam talian dapat ditangani.
“Penggunaan PIK juga akan dipertingkatkan melalui pertambahan kandungan atau kursus, bantuan dalam aspek pembungkusan dan pemasaran produk kepada golongan usahawan yang akan dilaksanakan tidak lama lagi,” katanya.
Sementara itu, antara langkah lain yang diambil kerajaan ialah penyediaan belanjawan sebanyak RM42 juta untuk menyediakan rangkaian gentian optik ke 25 kawasan perindustrian untuk memperkukuhkan infrastruktur bagi industri bergerak maju dalam digitalisasi perniagaan.
Katanya, aplikasi penghantaran makanan turut membuka peluang kepada rakyat dalam menghasilkan model perniagaan untuk menyara kehidupan dalam waktu sukar ini dan meningkatkan mobiliti mereka.
“Penubuhan Majlis Ekonomi Digital dan Revolusi Perindustrian Keempat Negara mencerminkan keseriusan kerajaan memastikan pembangunan ekonomi digital bersifat inklusif dengan memanfaatkan sepenuhnya teknologi 4IR.
“Dengan adanya kesalinghubungan digital inklusif, usaha itu dapat menarik lebih ramai pelabur dari dalam dan luar negara sekali gus memacu pertumbuhan ekonomi dan kesejahteraan rakyat,” katanya. – UTUSAN