PUTRAJAYA: Lima tindakan utama disenaraikan melalui Garis Panduan Pengurusan Bencana Bagi Kelestarian Bekalan Barangan Keperluan sebagai persediaan menghadapi bencana banjir tahun ini.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, tindakan terbabit bagi memastikan barangan keperluan asas tidak terputus dan mencukupi.
Katanya, tindakan itu antaranya mengaktifkan Pusat Kawalan Operasi Bencana melalui Pusat Arahan Penguatkuasaan di negeri-negeri terlibat dan meningkatkan pemeriksaan serta pemantauan secara berterusan ke atas semua rantaian pengedaran barangan makanan.
“Selain itu, membenarkan penambahan had simpanan barang kawalan dan barangan keperluan asas sehingga 30 peratus kepada pemborong dan peruncit terpilih di kawasan-kawasan yang berisiko banjir.
“Mengadakan libat urus bersama industri pengeluar dan pengimport barang kawalan dan keperluan asas bersama agensi-agensi kerajaan negeri yang terlibat dalam pengurusan bencana banjir serta membantu kumpulan sasar dengan pengagihan lebihan makanan melalui program foodbank,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Alexander berkata, garis panduan itu dilancarkan kerana November merupakan fasa bermulanya monsun timur laut dan dijangka berterusan sehingga akhir Mac tahun depan. – UTUSAN ONLINE