Maritim Malaysia Pahang usir bot nelayan Vietnam dan dua kapal tangki - Utusan Malaysia

Maritim Malaysia Pahang usir bot nelayan Vietnam dan dua kapal tangki

DUA kapal tangki dikesan menceroboh perairan negara di negeri ini oleh pesawat udara Bombardier CL415 Maritim Malaysia. -Ihsan Maritim Malaysia
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Pahang mengusir sebuah bot nelayan asing Vietnam dan dua kapal tangki yang dikesan menceroboh perairan negara di dua posisi berbeza iaitu lebih kurang 79,636 dan 166,680 meter timur dari daerah ini, kelmarin. 

Pengarah Maritim Malaysia Pahang, Laksamana Pertama Maritim Datuk Amran Daud berkata, bot nelayan Vietnam dengan nombor pendaftaran KG 858 TS serta dua kapal tangki yang sedang merapat dalam keadaan mencurigakan itu dikesan oleh pesawat udara Bombardier CL415 Maritim Malaysia ketika melaksanakan rutin pengawasan udara di perairan Pahang.

“Maklumat pencerobohan itu disalurkan kepada Kapal Maritim (KM) Pekan yang sedang melaksanakan OP Kuda Laut berhampiran lokasi kejadian pencerobohan bot dan kapal terbabit. 

“Sebaik menyedari kehadiran pesawat udara dan kapal Maritim Malaysia, bot nelayan berkenaan menukar haluan menuju ke perairan antarabangsa dan KM Pekan terus membayangi dan mengusir bot nelayan Vietnam itu sehingga keluar dari sempadan perairan Malaysia,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini. 

Tambah Amran, setelah bot nelayan asing berkenaan diusir, KM Pekan bergegas pula ke lokasi dua kapal tangki dan menghubungi melalui radio berfrekuensi tinggi (VHF) Channel 16 tetapi kapal tangki terlibat tidak memberi respon.

“Oleh itu, KM Pekan menyalakan lampu amaran dan susulan itu, kedua-dua kapal tangki berkenan bergerak perlahan-lahan keluar dari perairan negara sambil diawasi oleh KM Pekan,” jelas beliau. 

Menurutnya lagi, KM Pekan kini berada di kawasan sempadan perairan negara untuk memastikan bot-bot dan kapal-kapal asing terbabit tidak memasuki semula perairan negara.

“Keberadaan KM Pekan di kawasan tersebut juga bertujuan untuk memantau dan melakukan pengusiran terhadap bot dan kapal asing yang dikesan menceroboh,” katanya.

Beliau berkata, dalam masa dua minggu ini, sebanyak sembilan pengusiran dibuat oleh aset Maritim Malaysia Pahang dan dibantu aset dari Maritim Malaysia Johor di perairan Pahang. 

Jelasnya, sepanjang tahun ini Maritim Malaysia Pahang telah merekodkan 41 pengusiran dan dari jumlah itu, 39 daripadanya adalah dari bot nelayan Vietnam melibatkan seramai 337 kru termasuk tekong keseluruhannya.

“Pengusiran terhadap nelayan asing dan kapal tangki itu adalah tindakan sementara dalam tempoh pencegahan penularan Covid-19 serta mengekang pewujudan kluster baharu terutama di lokap-lokap penahanan suspek yang boleh memberi risiko jangkitan kepada pasukan barisan hadapan dan juga rakyat tempatan,” tambahnya.

Jelasnya, Maritim Pahang akan terus komited menggalas tugas dan tanggungjawab walaupun cabaran keadaan cuaca yang tidak menentu pada hujung tahun bagi memastikan kedaulatan dan keselamatan perairan negara tetap terpelihara.

Segala aduan dan kecemasan dilaut boleh dilaporkan melalui talian MERS 999 atau ke Pusat Operasi Maritim Negeri Pahang di talian 09-5717345 dan MRSC Kuantan di talian 09-5717368. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya