Maqis Perlis rampas 1,440 kilogram dagangan pertanian tanpa permit import - Utusan Malaysia

Maqis Perlis rampas 1,440 kilogram dagangan pertanian tanpa permit import

ANTARA barangan yang dirampas Maqis Perlis kerana yang tidak mempunyai permit import di Unit Kargo Kompleks Kastam, Imigresen, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) di Padang Besar, Perlis Jumaat lalu.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PADANG BESAR – Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) negeri merampas 1,440 kilogram barangan dagangan keluaran pertanian bernilai RM9,450 yang tidak mempunyai permit import di Unit Kargo Kompleks Kastam, Imigresen, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) di Padang Besar, Jumaat lalu.

Pengarah MAQIS negeri, Mohamad Arshad Raffin berkata, rampasan tersebut dibuat hasil daripada operasi yang dijalankan ke atas dua buah lori di lokasi terbabit.

Katanya, hasil pemeriksaan lanjut mendapati dua buah lori tersebut membawa barangan dagangan keluaran pertanian seperti seperti pisang, buah mangga, nenas, cili besar, ubi kemili, ubi sengkuang dan kekacang.

“Dagangan tersebut ditahan kerana tidak mempunyai permit import yang dikeluarkan oleh Maqis. Kesemua dagangan tersebut telah dirampas untuk tindakan lanjut. 

“Perbuatan mengimport keluaran pertanian tanpa permit import disiasat di bawah Seksyen 11(1), Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 [Akta 728] yang boleh dihukum dibawah Seksyen 11(3), akta yang sama,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Tambah beliau, jika disabit kesalahan, individu terbabit boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau dipenjara selama tempoh tidak melebihi enam tahun atau kedua-duanya. 

Menurutnya, Maqis sentiasa komited memastikan setiap keluaran pertanian yang masuk ke dalam negara mematuhi syarat dan peraturan yang telah ditetapkan oleh kerajaan bagi menjamin keselamatan makanan, bebas daripada perosak dan penyakit selain halal untuk dimakan. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN