Mangsa tanah runtuh ke Ipoh atas urusan kerja - Utusan Malaysia

Mangsa tanah runtuh ke Ipoh atas urusan kerja

A. ASMADI ABDUL AZIZ
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Seorang lelaki dan wanita yang maut dalam kejadian tanah runtuh di The Banjaran Hotsprings Retreat di Tambun di sini semalam, baharu sahaja mendaftar masuk ke resort berkenaan sehari sebelum kejadian.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner A. Asmadi Abdul Aziz berkata, kedua-dua mangsa difahamkan datang ke Ipoh dari Kuala Lumpur atas urusan kerja.

Bagaimanapun, beliau enggan mengulas lanjut sama ada mangsa datang bersama atau berasingan ke sini.

“Kedua-dua mangsa berasal dari Kuala Lumpur di mana lelaki itu bekerja di syarikat minyak dan gas manakala wanita tersebut merupakan ejen hartanah. Difahamkan mereka datang ke Ipoh atas urusan kerja.

“Kita perlu faham, di bawah prosedur operasi standard (SOP) berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), (rentas negeri) untuk urusan pekerjaan dibenarkan, ada surat majikan,” katanya ketika ditemui di Jabatan Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) di sini hari ini.

Menurut A. Asmadi, bedah siasat ke atas kedua-dua mangsa mendapati punca kematian akibat kecederaan ditimpa dinding dan tembok ekoran runtuhan tanah.

Katanya, kedua-dua mangsa telah dituntut oleh ahli keluarga masing-masing selepas proses bedah siasat selesai dijalankan hari ini.

“Pengecaman ke atas mayat mangsa lelaki dilakukan isterinya manakala mangsa wanita pula telah dicam oleh adik perempuannya,” katanya.

Sementara itu, usaha pemberita untuk menemubual isteri Chee Wei dan adik perempuan Tze Juin tidak berjaya apabila mereka enggan ditemu bual pemberita dan melarikan diri selepas selesai proses dokumentasi di Jabatan Forensik HRPB.

Hujan lebat berterusan telah menyebabkan kejadian runtuhan tanah di sebuah villa The Banjaran Hotsprings Retreat di Tambun yang mengakibatkan dua mangsa terperangkap dalam kejadian kira-kira pukul 1 pagi, kelmarin.

Mayat Ooi Chee Wei, 39, dan rakan wanitanya, Lee Tze Juin, 32, ditemui dalam keadaan bertindih kira-kira pukul 9.15 pagi oleh pasukan mencari dan menyelamat di bahagian jakuzi dalam bilik tersebut selepas operasi dijalankan hampir 10 jam. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya