Mangsa samun terima komputer riba - Utusan Malaysia

Mangsa samun terima komputer riba

ANGGOTA polis Pulau Pinang menyerahkan seunit komputer riba kepada mangsa samun di kediaman mereka di Seberang Perai Utara, Pulau Pinang baru-baru ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGETOWN: Tiada apa yang dapat dizahirkan dua beranak ini selain perasaan terharu sejurus menerima seunit komputer riba daripada anggota Jabatan Siasatan Jenayah Negeri (JSJN) selepas terlibat dalam kejadian samun di Kepala Batas, dekat sini September lalu.

Ibu tunggal, Asani Khodaeh, 36, berkata, dia dan anak sulungnya, Nurul Syafiqah Zamri, 17, tidak menyangka menerima sumbangan itu selepas sebahagian wang simpanan yang dikumpul sejak beberapa tahun lalu hilang akibat disamun.

Cerita Asani lagi, paling memilukan apabila separuh da­ripada wang itu juga adalah ha­sil pemberian orang ramai pada hari kematian suaminya, Zamri Md. Saad akibat komplikasi buah pinggang Julai tahun lalu.

“Saya tidak sangka menerima sumbangan ini daripada polis pada hari kedua anak sulung menghadapi peperiksaan percubaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) Oktober lalu.

“Hasrat saya dan arwah suami untuk membeli komputer riba kepadanya (anak sulung) memang sudah lama dan disebabkan keadaan kesihatan arwah ketika itu yang memerlukan perbelanjaan lebih terma­suk menjalani rawatan dialisis, kami terpaksa menangguhkannya,” katanya sebak kepada Utusan Malaysia di sini semalam.

Sumbangan itu disampaikan Pegawai Turus JSJN, Superintenden Fauzi Mohd. Yusof di kediaman Asiah di Kepala Batas.

Pada 27 September lalu, Asiah dan Nurul Syafiqah berdepan detik menakutkan selepas seorang lelaki yang tidak dikenali mengacu sebatang pemutar skru ke arah muka mereka sebelum melarikan beg silang.

Kejadian kira-kira pukul 8.40 pagi itu berlaku ketika mereka sedang menunggang motosikal ke sebuah pasar raya dan me­ngakibatkan mereka kehilangan dua buah telefon bimbit selain wang tunai RM1,500.

Bagaimanapun, kecekapan anggota polis berjaya menahan tiga suspek lelaki tempatan kurang 48 jam selepas kejadian berlaku.

Menurut Asani, kehidupan mereka kini hanya bergantung dengan wang Zakat Pulau Pinang (ZPP) termasuk duit ha­sil titik peluh sewaktu mengambil upah sebagai tukang cuci dan memasak di kantin sebuah sekolah berasrama penuh.

“Anak memahami keadaan kewangan kami sekeluarga dan saya terpaksa bekerja keras bagi membantu menguruskan hal keluarga termasuk persekolahan tiga lagi anak.

“Pemberian komputer riba ini sememangnya membantu serta memberi kemudahan untuk anak-anak saya belajar secara dalam talian sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) ini,” ujarnya.

Sementara itu, Ketua JSJ Ne­geri, Senior Asisten Komisioner Rahimi Ra’ais memberitahu, sumbangan komputer riba itu adalah inisiatif pasukannya dalam membantu meringankan beban keluarga terbabit.-UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya