Malaysia berminat menjalinkan hubungan dua hala dan bekerjasama dalam sektor ekonomi dengan Switzerland terutama dalam bidang keselamatan siber, pembangunan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) serta menghadapi cabaran Revolusi Perindustrian 4.0 (IR4.0).
Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, National 4IR and Digital Council yang baru ditubuhkan akan memberikan dasar-dasar kepimpinan mengenai IR4.0 dan digitalisasi serta mempercepat pertumbuhan ekonomi.
“Malaysia juga ingin melihat peningkatan hubungan perdagangan dan pelaburan dalam masa terdekat.
“Malaysia yakin strategi yang disatukan akan dapat menyediakan kerangka yang strategik untuk rangka kerja ASEAN dalam IR4.0 nanti dengan menetapkan agenda serta hala tuju untuk beberapa tahun akan datang,” katanya.
Beliau menyatakan demikian pada sidang akhbar selepas majlis menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) Berkenaan Pelaksanaan Bukan Tarif Barangan Penting dalam Sidang Kemuncak ASEAN ke-37 dan Mesyuarat Komuniti ASEAN ke-19 di ibu negara semalam.
Dalam majlis tersebut, Azmin mengadakan pertemuan dua hala bersama Menteri Ekonomi ASEAN dan Menteri Perdagangan Switzerland, H.E Guy Parmelin selain bertukar pandangan mengenai perkembangan ekonomi serantau dan global.
Antara lain, beliau juga berbincang berkenaan cara menguatkan bidang keutamaan kerjasama ekonomi antara ASEAN dan Switzerland termasuk tindak balas wabak Covid-19 serta usaha memulihkan ekonomi digital, pembangunan industri kecil dan sederhana dan pelancongan.
Mengulas berkenaan Perjanjian e-Dagang ASEAN, Azmin menekankan bahawa pelaksanaannya akan membawa peningkatan sistemik terhadap ekosistem ekonomi digital serta fasilitasi yang menyokong perdagangan barang dan perkhidmatan merentas sempadan ASEAN.
“Ini pencapaian yang kita telah setuju dalam mesyuarat dan tujuan utama dokumen dan persetujuan ini adalah untuk menjamin pergerakan barangan penting agar tidak menganggu khususnya dalam usaha mencerdaskan ekonomi di rantau ASEAN ini.
Dalam perkembangan lain, Azmin , berterima kasih kepada pemimpin Perikatan Nasional (PN) kerana meletakkan kepercayaan kepada beliau sebagai Pengarah Pilihan Raya PN bagi mengetuai persediaan jentera pilihan raya parti.
Katanya, beliau akan berusaha sedaya upaya untuk memastikan prestasi PN terus diperkukuhkan dan mendapat dukungan rakyat sepenuhnya. Tambahnya, meskipun fokus kerajaan adalah untuk memulihkan ekonomi dan Covid-19 dan bukannya pada Pilihan Raya Umum (PRU), tetapi sebagai parti politik PN perlu bersedia untuk ke arah itu.
“Sudah tentulah kita mahu sebuah kerajaan yang kuat, stabil, kerana kestabilan sesebuah kerajaan itunya pasti dapat memberikan khidmat terbaik untuk rakyat dan negara,” katanya.-UTUSAN ONLINE