PUTRAJAYA: Mana-mana majikan yang didapati bersubahat membawa pekerja mereka keluar daripada kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan Secara Pentadbiran (Temco) bakal berdepan tindakan tegas.
Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan terus mengesan dan menangkap mereka yang lari dari kawasan tersebut.
“Lebih mudah untuk mengesan mereka kerana ada majikan bersubahat membawa pekerja mereka keluar dari kawasan itu.
“Bukan sahaja tindakan boleh diambil kepada pekerja yang lari, tetapi majikan bersubahat boleh diambil tindakan kerana menyusahkan pihak berkuasa malah membahayakan nyawa orang lain,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.
Ismail Sabri mengulas berhubung lebih 400 penghuni Medan 88 Bandar Baru Salak Tinggi yang kini berada dalam Temco gagal dikesan pada hari pertama pelaksanaan. – UTUSAN ONLINE